fbpx
PROF. KULANTHAYAN (Gambar kecil) menegaskan memandu pada kelajuan yang rendah dapat mengelakkan daripada berlakunya kemalangan kerana pemandu boleh mengawal kenderaan dengan lebih baik.

Ramai pemandu kita tidak sayang nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP hari ada sahaja kes kemalangan dilaporkan, sama ada hanya melibatkan kerosakan kenderaan, kecederaan atau lebih tragis membabitkan kematian. Meskipun pelbagai usaha dilakukan termasuk dalam aspek penguatkuasaan undang-undang, namun nahas terus berlaku.

Banyak faktor diperdebatkan oleh pelbagai pihak dan orang ramai berhubung punca kemalangan termasuk sikap pemandu, ‘perangai’ pemilik kenderaan, keadaan jalan raya dan infrastruktur serta penguatkuasaan.

Bagi mengupas isu yang bagai tiada kesudahan ini wartawan Kosmo! Ahad, ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN menemu bual Pakar Keselamatan Jalan Raya yang juga Pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Kulanthayan KC Mani.

KOSMO! AHAD: Bagaimana keadaan jalan raya di negara ini dan adakah infrastruktur jalan menyumbang kepada kemalangan?

Kulanthayan KC Mani: Terdapat 12 sasaran dibangunkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), saya cuma tarik perhatian kepada tiga ‘perfomance target’ iaitu sasaran nombor tiga melibatkan infrastruktur jalan. WHO menetapkan sasaran semua infrastruktur jalan meme­nuhi minimum tiga bintang. Dari segi penarafan jalan ada ‘star ra­ting’ meliputi daripada tiada bintang kepada lima bintang.

Mereka mengesyorkan minimum tiga bintang bagi setiap jalan, kalau kita dapat mengge­rakkan semua sistem jalan kita untuk paling minimum tiga bintang, ia akan membantu untuk mengurangkan angka kemala­ngan dan kematian di jalan raya.

Bagaimana pula daripada sudut had laju kenderaan?

Sasaran keenam (ditekankan WHO) adalah kelajuan kerana dalam banyak sasaran, 12 sa­saran yang akan memberi pulangan cukup tinggi ialah pe­ngurangan kelajuan.

Hal ini kerana, apabila kita dapat kurangkan kelajuan, pertama kita dapat mengelakkan kemalangan kerana kita mampu me­ngawal kenderaan dengan lebih baik pada kelajuan yang rendah.

Kedua, andai kata masih berlaku kemalangan, kita dapat mengurangkan tahap keparahan kemalangan tersebut. Sebab itu apa sahaja intervensi atau pun program ke arah membantu mengurangkan kelajuan ken­deraan, ia dijangka memberikan kita pulangan yang cukup tinggi daripada segi dua indikator iaitu satu pengurangan kemalangan, kedua pengurangan kematian.

Pada pandangan Prof. me­ngapa banyak kemalangan berlaku?

Kemalangan berlaku bergantung kepada dua faktor, satu ialah prestasi pemandu, kedua ialah keperluan sistem iaitu jalan atau infrastruktur yang ada.

Terdapat tempat kalau kita lihat jalannya mungkin ada selekoh berbahaya. Di mana ada keperluan yang tinggi daripada segi sistem ‘demand’ di situ puncaknya tinggi, contohnya katakan tempat selekoh ada tempat yang jalannya berlubang itulah tanda yang menunjukkan ada puncak.

Prestasi pemandu kita selalunya tidaklah stabil, akan ada masa, kita akan ada ‘drop’ dari segi prestasi, semasa kita memandu mungkin ada masa kita mula mengantuk sedikit.

Prestasi kita akan jatuh di­sebabkan pelbagai perkara satu adalah isu mengantuk, kedua mungkin ada isu gangguan lain contohnya penggunaan telefon bimbit atau perbualan dengan penumpang lain dalam kende­raan atau kita sedang berfikir mengenai perkara lain.

Bagaimana dengan kadar kematian dalam kemalangan?

Berdasarkan maklumat global kebanyakan kematian berlaku on the spot maksudnya apabila terjadinya kemalangan, ia juga melibatkan kematian. Sebanyak 25 peratus sahaja kematian berlaku dalam tempoh tiga jam dan tiga peratus lagi kematian berlaku dalam tempoh 30 hari.

Apakah langkah intervensi bagi mengelakkan kematian dalam kemalangan?

Dengan data ini, intervensi yang memberi pulangan cukup tinggi, adalah mengelak kemalangan itu daripada berlaku.

Hal ini kerana, dengan itu, kita mempunyai peluang sebanyak 71 peratus dalam memastikan tiada kematian.

Jadi kalau kita mula me­labur banyak sangat contoh dari segi penyediaan perkhidmatan ambulans, penyediaan pakar-pakar atau penyediaan hospital kita hanya menangani isu yang berkait dengan 25 peratus dan tiga peratus sahaja.

Bagaimana Prof. melihat impak kemalangan sehingga mangsa maut?

Apabila berlaku kemalangan kita lihat berlaku beberapa fasa dari segi kecederaan. Pertama, katakan saya pejalan kaki, berada di luar kenderaan di tepi jalan dan ada kereta datang langgar saya. Itu adalah first contact apabila kereta tersebut berlanggar ia menyentuh saya itulah first contact kecederaan pertama yang akan berlaku.

Kedua, apabila dilanggar, saya akan jatuh atas permukaan yang keras, itu dipanggil persekitaran, jadi kecederaan yang berlaku di­sebabkan contact point sekarang saya dengan persekitaran.

Ketiga, kecederaan yang berlaku apabila saya tidak bergerak dan terbaring atas jalan tetapi organ-organ dalam badan saya masih bergerak pada kelajuan asal. Jadi, apabila organ masih bergerak dan saya tidak bergerak maka satu organ akan berlanggar dengan organ lain, ini yang dikatakan internal injury dan internal bleeding.

Ketiga-tiga inilah kemungkinan besar yang akan menyebabkan nahas tersebut bertukar menjadi kemalangan maut.

Kenapa kemalangan sema­kin tinggi di negara kita?

Kita lihat di negara kita angka kemalangan pada setiap tahun akan memecahkan rekod tahun sebelumnya.

Jadi kita dapat buat kesimpulan agak mudah ialah intervensi untuk elak kemalangan atau pun crash prevention tidak memberi kan kita pulangan.

Tetapi nampak gaya ada beberapa intervensi untuk pencegahan kecederaan telah mula memberi kita pulangan disebabkan kita dapat melihat penurunan tiga tahun berturut-turut angka kematian ini ‘absolute number’ bukan daripada segi kadar tetapi selepas ‘post covid’ ia mula naik.

Satu yang agak jelas ialah bilangan kenderaan persendirian kita cukup tinggi. Kalau kita lihat, bilangan penduduk 36 juta, bilangan kenderaan berdaftar yang aktif dan tidak aktif hampir sama iaitu 36 juta.

Mungkin yang aktif ini anggaran saya sekitar lebih kurang 25 juta, ia masih tinggi untuk penduduk keseluruhan 36 juta.

Yang kita bimbang sekarang ia matching one to one, bilangan kenderaan memang penting, sebab lagi tinggi kenderaan, lagi banyak kita menggunakan ken­deraan maka lagi tinggi risikonya.

Bagaimana sikap pemandu di negara ini boleh diubah?

Tanya diri sendiri sudah berapa tahun membawa kenderaan, 10 tahun ke 20 tahun? Dalam 20 tahun berapa kali anda terlibat dalam kemalangan? jadi bilangan anda terlibat dengan kemalangan apabila bahagi dengan bila­ngan hari anda berada di atas jalan, angka ini cukup rendah.

Ini menyebabkan kita rasa kebarangkalian insiden tersebut berlaku cukup rendah, cukup jarang maka menyebabkan inisiatif membuat perubahan di peringkat individu itu kurang.

Contohnya, saya tahu kelajuan itu berbahaya tetapi semalam saya sudah bawa laju tetapi tidak berlaku kemalangan. Walaupun dari segi sains, kita kata kemalangan tersebut berbahaya boleh menyebabkan kematian.

Namun dari segi amalan kita buat semalam, kita bawa laju tetapi tidak berlaku kemalangan maka apabila kita bandingkan daripada segi amalan yang sebenar kita buat ia tidak seiring.

Amalan tersebut menyebabkan kita rasa yakin dan kita ­teruskan amalan tidak selamat tersebut, yang kita bimbang adalah apabila amalan tidak selamat ini berterusan akan berlaku ­kemalangan.

Apabila berlaku kemalangan tersebut ia tidak hanya melibatkan diri anda sahaja, juga melibatkan pengguna-pengguna jalan raya lain yang berkongsi sistem jalan dengan kita.

Adakah penguatkuasaan seperti saman, denda gagal mengatasi kemala­ngan?

Kebarangkalian untuk kita dikesan jika melanggar undang-undang jalan raya daripada persepsi pengguna masih rendah sebab itu saya katakan ‘semalam saya bawa laju, tetapi saya tidak dapat ‘tiket’ (disaman), saya tidak ditahan’.

Jadi apabila the whole process daripada kita melanggar peraturan, kita tidak dikenakan tindakan serta-merta dan daripada segi saman pula, jumlah yang dikenakan perlu memberikan impak yang boleh mengubah amalan kita.

Sebab itu, orang sama apabila pergi ke negara lain yang mempunyai kebarangkalian dikesan (melakukan kesalahan lalu lintas) lagi tinggi terus dia tukar daripada segi amalan.

Begitu juga sebaliknya, apabila penduduk di negara yang melalui sistem di mana kebarangkalian untuk mereka dikesan tinggi, jadi mereka akan patuhi peraturan bila berada di negara mereka, namun apabila berpindah ke negara yang mereka tahu kebarangkalian itu kurang (kesalahan dikensan) mereka menukar amalan.

Jadi pertukaran amalan ini bukan semata-mata berasaskan sikap seseorang, ia lebih juga bergantung kepada persekitaran, bergantung juga kepada sistem negara tersebut.

Kalau kita dapat pastikan mana-mana pelanggaran berlaku dapat dikesan cepat dan tindakan dikenakan dengan cepat selain memberi impak maka ia akan menukar keseluruhan landskap amalan pengguna jalan raya, dapat mengubahnya daripada amalan tidak selamat kepada selamat. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN