fbpx

Datuk bandar kahwini buaya betina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SOSA mencium isterinya, Alicia ketika majlis perkahwinan mereka yang berlangsung di bandar San Pedro, Mexico baru-baru ini.

PETANG itu, di dalam sebuah dewan besar, orang ramai kelihatan menari sambil bertepuk tangan seolah-olah meraikan satu upacara gembira.

Selang beberapa minit kemudian, seorang lelaki tinggi lampai dan berkulit gelap berjalan masuk ke dalam dewan tersebut sambil tersenyum lebar.

Dia yang memakai sehelai kemeja lengan panjang berwarna putih berjalan masuk sambil kedua-dua tangannya mendukung seekor buaya betina berpakaian serba putih.

Ternyata, majlis tersebut merupakan hari perkahwinan seorang Datuk Bandar San Pedro Huamelula, Mexico bersama cinta hatinya yang merupakan seekor buaya betina.

Victor Hugo Sosa baru-baru ini mengejutkan dunia apabila memilih buaya betina bernama Alicia Adriana sebagai isterinya dalam satu upacara perkahwinan yang berlangsung mengikut adat turun-temurun.

Sosa berkata, dia berjanji bersikap setia terhadap isterinya itu yang dipanggil ‘puteri’.

“Saya menerima tanggungjawab ini kerana kami amat mencintai antara satu sama lain. Bagi saya, cinta itu adalah amat penting kerana sesebuah ikatan perkahwinan tersebut tidak boleh berlaku tanpa cinta,” ujar Sosa dalam upacara itu.

ALICIA mengenakan gaun pengantin serba putih sewaktu majlis perkahwinan bersama Sosa yang juga seorang datuk bandar.

Perkahwinan antara lelaki dengan buaya betina telah berlaku di Mexico sejak 230 tahun lalu. Ia sebagai simbolik perdamaian antara dua suku kaum Orang Asli di bandar San Pedro Huamelula iaitu Chontal dan Huave.

Datuk bandar tersebut yang mewakili raja suku kaum Chontal mengahwini Alicia yang mewakili suku kaum Huave.

Sebelum acara perkahwinan itu berlangsung, Alicia dibawa dari satu rumah ke satu rumah yang lain supaya penduduk tempatan boleh memegang reptilia tersebut dan menari bersamanya.

Buaya itu memakai gaun berwarna hijau, baju sulaman tangan berwarna-warni dan hiasan kepala diperbuat daripada reben dan manik.

Muncungnya pula diikat bagi mengelakkan berlakunya sebarang perkara tidak diingini sebelum majlis persandingan pasangan itu.

Alicia kemudiannya dipakaikan gaun pengantin serba putih lalu dibawa ke dewan bandar tempatan untuk upacara perkahwinannya.

Selepas itu, seorang nelayan tempatan, Joel Vasquez menebarkan pukatnya sebagai simbolik agar perkahwinan tersebut mampu menjadikan bandar San Pedro Huamelula semakin makmur, keseimbangan dan penduduknya boleh hidup dengan lebih aman.

Selepas sah sebagai pasangan suami isteri, Saso menari bersama Alicia sambil diiringi muzik tradisional.

“Kami gembira apabila dapat meraikan penyatuan dua budaya dan para hadirin turut berasa seronok,” kata Sosa.

Selepas tarian, pengantin lelaki mencium si isteri dan bersedia memulakan hidup baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI