fbpx

Mayat mangsa bunuh ditemui terapung di jeti Bukit Tambun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui terapung dalam keadaan tangan dan kaki berikat berhampiran Jeti Bagan Bukit Tambun, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Ng Ah Tiam berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung penemuan mayat tersebut pada pukul 11.45 malam.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mayat ditemui dalam keadaan terapung di mana kaki dan tangan si mati dalam keadaan terikat.

“Bahagian leher si mati juga diikat dengan tali bersama sebongkah batu di muara sungai manakala bahagian perut terdapat kesan terbelah dipercayai dicederakan menggunakan senjata tajam,” katanya kepada pemberita di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mayat yang masih tidak diketahui identiti itu memakai baju t-shirt berkolar, lengan pendek berwarna merah yang tertera ‘US PIZZA’ dan seluar ‘boxer’ berwarna hitam berjenama Roxy.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, kita meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini atau ada ahli keluarga yang hilang supaya tampil memberi keterangan. Salurkan sebarang maklumat kepada Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Mohd. Hafiz Mohd. Noor di talian 019-465 0777 atau 04-5858222,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI