fbpx

460 keluarga mangsa banjir Gelang Patah terima wang ihsan RM300

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muzaldin (dua kanan) menyampaikan sumbangan daripada Pejabat Menteri Besar Johor kepada ketua keluarga mangsa banjir kilat di Gelang Patah di Dewanraya MBIP, Taman Nusantara, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 460 keluarga yang terjejas akibat banjir kilat di sekitar Gelang Patah, di sini bulan lalu menerima bantuan wang ihsan berjumlah RM300, masing-masing.

Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed berkata, sumbangan wang ihsan bernilai RM135,000 itu diberikan Pejabat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurut beliau, selain sumbangan tunai, beberapa pihak lain turut menyumbang peralatan dan juga tenaga kerja sukarelawan bagi mengurangkan bebanan mangsa banjir.

“Kejadian banjir kilat yang berlaku di sembilan kampung dan sebuah taman perumahan di sekitar Gelang Patah di sini adalah melibatkan Mukim Jelutong dan Mukim Tanjung Kupang.

“Alhamdulillah, kesemua wang sumbangan ini telah diagihkan hari ini, walaupun jumlahnya tidak terlalu besar, namun diharapkan dapat bantu meringankan beban keluarga yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemberian Wang Ihsan Dari Pejabat Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang diadakan di Dewanraya Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) di Taman Nusantara, di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.

Sementara itu, Pandak memberitahu, pihaknya berharap permohonan dibuat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor sebanyak RM5 juta dapat diluluskan Kerajaan Persekutuan.

“Permohonan peruntukan itu adalah bagi melaksanakan beberapa projek tebatan banjir di kawasan pentadbiran MBIP termasuklah di Jambatan Besi Jalan Gelang Patah – Pendas.

“Jambatan besi dikenalpasti sebagai satu lokasi ‘hotspot’ banjir kilat kerana aliran air yang tersekat dan melimpah sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat di laluan berkenaan,” ujarnya.

Tambah Pandak, MBIP juga sudah mengambil langkah penyelesaian jangka pendek dan panjang melibatkan kesemua kawasan terbabit dalam mengurangkan risiko kejadian banjir kilat berulang pada masa depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI