fbpx

144,911 calon lepasan SPM terima tawaran IPTA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Seramai 144,911 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 telah ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) .

Kementerian Pendidikan Tinggi dalam kenyataan berkata, kesemua mereka ditawarkan ke universiti awam (UA), politeknik, kolej komuniti (KK) dan institusi latihan kemahiran awam (ILKA) sesi akademik 2023/2024.

Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 79,668 calon telah ditawarkan di UA manakala seramai 65,243 calon ditawarkan di Politeknik, KK dan ILKA yang menawarkan program pengajian berfokuskan TVET.

“Seramai 61,286 calon lelaki dan 83,625 calon perempuan telah berjaya mendapat tawaran. Kadar kejayaan lelaki adalah 61.7 peratus berbanding perempuan 60.4 peratus.

“Tawaran laluan khas secara keseluruhan adalah sebanyak 14,619 dengan pecahan tawaran iaitu 13,649 bagi Kategori B40, Orang Kurang Upaya (OKU) (346), atlet (335) dan Orang Asli (289).

“Selain itu, seramai 26 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mendapat tawaran,” katanya di sini hari ini.

Jelasnya, calon Melayu, anak Negeri Sabah, anak Negeri Sarawak dan Orang Asli yang mendapat tawaran adalah seramai 130,819 (62.6 peratus) daripada jumlah calon yang layak iaitu 208,833.

“Untuk calon daripada kaum Cina yang mendapat tawaran adalah 5,477 (52.4 peratus) daripada jumlah yang layak iaitu 10,447 orang.

“Bagi calon daripada kaum India dan lain-lain, bilangan calon yang mendapat tawaran adalah 8,615 (46.5 peratus) daripada jumlah calon yang layak iaitu 18,525,” ujarnya.

Sebanyak 500 program pengajian telah ditawarkan bagi sesi kali ini dengan 143 Sijil, 47 Asasi, 309 Diploma dan 1 Ijazah Sarjana Muda.

Tambahnya, terdapat calon yang tidak mendapat tawaran berikutan tidak memenuhi syarat am atau syarat khas program pengajian.

“Terdapat seramai 164,028 daripada 403,637 calon yang menduduki SPM 2022 tidak memohon UPUOnline atas beberapa faktor seperti telah mendapat tawaran menyambung pelajaran ke Kolej Matrikulasi BMKPM, Institut Perguruan Malaysia (IPGM) , Tingkatan 6, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan luar negara atau mendapat tawaran biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan sebagainya.

“Kementerian kini telah membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline dalam tempoh 10 hari sahaja mulai hari ini pada pukul 12.00 tengah hari hingga 16 Julai ini pada pukul 5 petang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI