fbpx

Bintara Muda APMM mengaku tidak bersalah terima suapan RM7,900

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Fadzil ketika hadir di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini. Gambar oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Seorang Bintara Muda Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima suapan berjumlah RM7,900 daripada seorang individu, enam tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Fadzil Abdullah,48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Mohd Fadzil yang ketika itu berkhidmat sebagai Bintara Muda Maritim Gred T6 APMM Pulau Pinang didakwa menerima suapan daripada seorang lelaki berusia 38 tahun yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di beberapa bank sekitar negeri ini antara 17 April 2017 sehingga 2 Ogos 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkiflee manakal tertuduh diwakili peguam, SP. Raman.

Afiqa Liyana memohon jaminan RM15,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri ke pejabat SPRM berhampiran setiap bulan.

Raman dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan jaminan munasabah susulan anak guamnya perlu menanggung tiga anak yang masih bersekolah dan memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan berlangsung.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 10 Ogos depan. Difahamkan, tertuduh membayar ikat jamin yang dikenakan terhadapnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI