fbpx

Polis rakam keterangan lima individu kes melepaskan tembakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Yusri (tengah) merasmikan program Meniti Karier Dalam PDRM anjuran Dewan Perhimpunan Cina Perak di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yuk Choy, Ipoh hari ini.

IPOH – Polis telah merakam keterangan lima individu berhubung kes melepaskan tembakan di hadapan rumah peniaga di Kuala Gula dekat Bagan Serai semalam.

Dalam kejadian pukul 3 pagi itu, seorang lelaki bertopeng melepaskan lima das tembakan ke arah rumah peniaga itu di mana telah mengenai kereta, motosikal serta pintu rumah mangsa.

Pemeriksaan Bahagian Forensik (D10) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menemukan lima kelongsong peluru kaliber 9mm di lokasi kejadian.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif suspek bermotosikal itu bertindak demikian.

Katanya, siasatan merangkumi pelbagai aspek termasuk faktor perniagaan, persaingan dan sindiket.

“Pihak polis akan menyelesaikan kes ini dan melengkapkan kertas siasatan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Meniti Karier Dalam PDRM anjuran Dewan Perhimpunan Cina Perak di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yuk Choy di sini hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, 20 peratus daripada lebih 9,700 pegawai dan anggota polis Kontinjen Perak diatur gerak ke Pulau Pinang, Kedah dan Selangor yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI