fbpx

Hospital Raja Permaisuri Bainun paling banyak jalani pembedahan katarak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Raja Iskandar Zulkarnain (dua dari kiri) mendengar penerangan berhubung peralatan perubatan dari kakitangan HRPB di Ipoh, Perak hari ini.

IPOH – Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) merupakan hospital terbanyak menjalankan pembedahan katarak di negara ini dengan 3,084 pembedahan dilaksanakan pada tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr. Sirajuddin Hashim berkata, jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 30.2 peratus memandangkan sebanyak 2,369 pembedahan katarak telah dilaksanakan di hospital berkenaan pada 2021.

“Dari segi perawatan pula, trend kedatangan pesakit ke Klinik Oftalmologi semakin meningkat. Jumlah kedatangan pesakit bagi kes baru dan kes ulangan bagi 2022 adalah sebanyak 64,879 kes, iaitu peningkatan sebanyak 18.3 peratus berbanding 2021 iaitu sebanyak 54,842 kes.

“Senario ini membuktikan bahawa sumbangan berupa peralatan perubatan kepada pihak hospital amatlah bertepatan dengan keperluan hospital serta sokongan daripada pihak luar amnya badan-badan korporat dalam memberikan sumbangan sebegini amatlah kami hargai demi kelancaran perkhidmatan rawatan kesihatan mata di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di majlis penyampaian peralatan perubatan sumbangan Mysuccessland Sdn. Bhd. dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di HRPB di sini hari ini.

Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain berkenan mencemar duli ke majlis tersebut.

Mengulas lanjut, Sirajuddin berkata, pelbagai perkhidmatan dan rawatan yang ditawarkan oleh Jabatan Oftalmologi HRPB, termasuklah perkhidmatan pesakit luar termasuk membuat diagnosis, memberi rawatan harian, rawatan kecemasan dan rawatan susulan bagi kes-kes penyakit mata.

Selain itu, jabatan itu juga menawarkan perkhidmatan khusus iaitu Glaukoma dan Vitreoretina, perkhidmatan penyaringan Diabetik Retinopati dengan menggunakan Fundus Kamera serta rawatan susulan bagi penyakit Diabetik Retinopati.

Turut ditawarkan, menurut beliau, ialah perkhidmatan penyaringan Retinopati pramatang (ROP) untuk bayi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI