fbpx
RONALDO ketika beraksi bersama pasukan Al-Nassr di Arab Saudi.

Sindrom penafian mudahkan Arab Saudi dapat pemain bermutu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEGHAIRAHAN Arab Saudi membawa bola sepak mereka ke fasa yang tidak pernah dibayangkan oleh sesiapa pun semakin melonjak apabila dijangka lebih ramai pemain berkelas elit dari Eropah mungkin mengubah destinasi karier mereka ke negara telaga minyak itu.

Sebelum ini, negara-negara Asia terutamanya Asia Barat hanya menjadi tumpuan para pemain yang menghampiri akhir karier ataupun berstatus gred B sahaja, namun perkembangan terbaharu yang berlaku dilihat mampu mengubah pola tradisi bola sepak Eropah yang cukup gah sebelum ini.

Bagaimanapun, setakat ini sindrom penafian cukup menebal dalam kalangan pengendali badan induk bola sepak Eropah, kelab dan para pemerhati bola sepak dari benua itu apabila mereka lebih gemar memandang rendah projek mega bola sepak Arab Saudi yang dipelopori Putera Mahkota Mohammed Salman.

Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah, Aleksander Ceferin sebelum ini misalnya, mengeluarkan kenyataan bahawa bola sepak Eropah tidak perlu resah dengan perbelanjaan mewah kelab-kelab dari Arab Saudi, malah menuduh projek berkenaan tidak akan memberikan apa-apa kesan kecuali hanya akan mengikuti jejak kegagalan China dan Russia sebelum ini.

Menerusi nada sinis, Ceferin menasihatkan Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) untuk menggunakan dana berkenaan bagi projek membangunkan para pemain mereka sendiri berbanding memberikan kontrak mewah buat pemain ‘tua’ seperti Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema.

Ketika jendela perpindahan masih lagi panjang, selain dua bekas pemain Real Madrid itu, pemain tengah Chelsea, N’Golo Kante yang dianggap pemain berusia yang mengesahkan karier bersama Al-Ittihad, namun penghijrahan Ruben Neves ke negara itu perlu jadi loceng amaran buat UEFA kerana dia hanya berusia 26 tahun.

Kemudian beberapa lagi nama pemain muda dan yang berada dalam kelompok elit seperti Hakim Ziyech, Yerry Mina, Bernardo Silva, Romelu Lakaku, Pierre-Emerick Aubameyang, Eden Hazard, Roberto Firmino dan ramai lagi dipercayai sedang bertubi-tubi menerima tawaran.

Sebahagiannya mungkin melepasi usia 30 tahun, namun ini adalah watak-watak penting dalam membantu bola sepak Eropah mencapai kegemilangan dan kehilangan mereka pastinya sedikit sebanyak memberi kesan biarpun secara zahirnya mereka enggan mengakuinya.

Membawa masuk pemain berprofil tinggi yang memiliki reputasi dan populariti sudah pastinya membolehkan liga berkenaan mampu menjana keuntungan menerusi perjanjian siaran komersial televisyen, selain turut menarik minat penaja membawa masuk pelaburan lebih besar.

UEFA dan kelab-kelab bola sepak Eropah mungkin akan terjerat dengan persepsi yang mereka sendiri cipta seandainya berterusan menafikan kemampuan projek mega Arab Saudi kerana pada hakikatnya, SAFF hanya menggunakan modul yang sudah digunakan sejak sekian lama di benua berkenaan.

Dalam tempoh yang singkat kita mungkin tidak mendapat gambar jelas untuk melihat Liga Profesional Arab Saudi mampu berjaya dengan formula membawa masuk pemain bintang, tetapi semua bermula dengan langkah pertama yang turut dilalui oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England ketika memperkenalkan Liga Perdana Inggeris.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN