fbpx

Jenazah tujuh beranak mangsa kepala air dikebumi malam ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JENAZAH yang tiba dibawa ke masjid untuk disembahyangkan di Felda Lepar Hilir 3, Kuantan hari ini.

KUANTAN – Jenazah tujuh beranak yang ditemukan mati lemas di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, Sabtu lalu, tiba di Felda Lepar Hilir 3, Gambang, dekat sini, pada pukul 10.02 malam.

Mereka adalah Azizah Eiyi, 40, Karim Abdullah, 39, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya Karim, 10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18.

Kesemua jenazah yang dibawa berasingan menaiki tujuh buah van jenazah itu akan disembahyangkan terlebih dahulu di Masjid Ubuddiyah Felda Lepar Hilir 3 sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3 untuk dikebumikan dalam satu kubur.

 

Jenazah mangsa kepala air tiba di Masjid Ubuddiyah Felda Lepar Hilir 3.

Kesemua van jenazah yang diiringi dua buah Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, Terengganu, itu bertolak dari Unit Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kira-kira pukul 6.25 petang tadi.

Dianggarkan kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara, rakan mangsa dan penduduk Felda berkenaan hadir bagi menyambut ketibaan kesemua jenazah.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Solat jenazah tujuh beranak mangsa kepala air disembahyangkan di Masjid Ubuddiyah Felda Lepar Hilir 3.

Pada Ahad lalu, 10 individu termasuk sembilan sekeluarga yang dilaporkan berkelah di Jeram Air Putih hilang selepas dihanyutkan kepala air di kawasan itu.

Setakat petang tadi, lapan mayat telah ditemui yang mana mayat kelapan yang dikenal pasti sebagai Putri Alleya Maisarah, 16, ditemui kira-kira pukul 3 petang di kawasan beting jeram terbabit.

Dua lagi mangsa belum ditemukan ialah Putri Nor Fatin, 14, dan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI