Kehidupan majmuk di Malaysia dengan populasi penduduk berbilang kaum sekitar 33.2 juta orang sememangnya berupaya mengundang ketegangan antara rakyat lebih-lebih lagi berkaitan hal sensitiviti agama serta budaya jika kurang berwaspada.
Dalam kalangan umat Islam pula, hal-hal agama seperti peningkatan kos haji selain golongan T20 tidak menerima subsidi daripada Tabung Haji (TH) dan perlu membayar penuh, RM30,850 juga antara isu diperkatakan.
Susulan itu, wartawan Kosmo! Ahad, RIDZAUDDIN ROSLAN menemu bual Menteri Agama, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar baru-baru ini untuk mendapatkan sudut pandangan beliau mengenai beberapa isu berkaitan agama di Malaysia.
Kosmo! Ahad: Baru-baru ini, Malaysia telah diiktiraf sebagai negara contoh dan terbaik di seluruh dunia dalam mempromosi gaya hidup damai meski mempunyai masyarakat berbilang kaum yang dikhabarkan sendiri Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia, Sheikh Dr. Muhammad Abdul Kareem Al-Issa. Sebagai Menteri Agama, apa yang boleh Datuk ulas mengenai pengiktirafan buat negara ini?
Mohd. Na’im: Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas pengiktirafan yang diberikan oleh Liga Muslim Sedunia kepada Malaysia. Sesungguhnya pengiktirafan ini telah membuktikan bahawa Malaysia sebagai negara Islam pada abad ini mampu mengekalkan keamanan dan kedamaiannya di dalam masyarakat yang pelbagai agama, budaya dan latar belakang.
Tentunya konsep fiqh taayush (co-existence atau kewujudan bersama) antara kaum dan agama yang berpaksikan kesederhanaan (wasatiyyah) yang pernah dipraktikkan zaman Rasullullah pada suatu ketika dahulu perlu dijadikan teras dalam menangani isu sensitif dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selaku agensi agama di peringkat Persekutuan menjalin kerjasama erat dengan agensi-agensi lain seperti Kementerian Perpaduan dan Integrasi Nasional dalam mendepani isu-isu inter religion and ethnic di Malaysia ini dengan menggalakkan dialog dan perbincangan dengan semua ketua agama di Malaysia agar setiap masalah dapat diselesaikan dengan harmoni.
Pada padangan Datuk apakah kunci utama yang membolehkan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini hidup secara aman sejak sekian lama?
Pada hemat saya, kunci utama yang boleh digunakan adalah pendekatan secara wasatiyyah (bersederhana). Terdapat pelbagai kaedah boleh digunakan dalam aplikasi pendekatan wasatiyyah antaranya mengiktiraf dan menghormati hak sesama manusia, mengutamakan dialog dan perbincangan. Dalam konteks Malaysia dengan komposisi warga dari sudut Muslim dan bukan Muslim, perbincangan fiqh taayush ini lebih dekat dengan keadaan bahawa kita semuanya adalah satu kewarganegaraan yang sah dari segi undang-undang.
Walaupun berlainan agama, kaum dan latar belakang, kita semua hidup dalam lingkungan al-taayush dari sudut sama-sama menikmati hak dan memikul tanggungjawab sebagai seorang warga negara yang sepatutnya berkongsi nilai-nilai ‘keMalaysiaan’ yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga berkongsi komitmen mempertahankan kedaulatan negara. Realiti Malaysia yang mengambil kira fiqh al-Malizi mengambil
realiti tersendiri keMalaysiaan yang mungkin tiada di tempat-tempat lain.
Dalam konteks di Malaysia, amalan fiqh taayush sepatutnya menjadi medan orang Islam pamer keindahan Islam dan menerangkan ajaran Islam dalam erti kata sebenar.
Bagi Datuk, apakah ancaman terbesar bagi penganut agama Islam masa kini?
Pada pendapat saya antara ancaman yang perlu dibendung pada ketika ini adalah ancaman ekstremisme. Perilaku melampau seperti ini lahir daripada fahaman yang terkeluar ajaran agama
dan menjadi punca kepada kewujudan permasalahan yang lebih besar dan berbahaya kepada individu, masyarakat, bangsa dan negara.
Pemikiran ini berpunca apabila nafsu manusia cuba membebaskan diri mereka daripada prinsip dan ajaran yang benar dan mentafsirkan prinsip-prinsip agama berasaskan rasional mereka sendiri yang liberal, bebas dan terbuka.
Penyebaran fahaman ini adalah lebih luas dan tersusun. Perubahan pesat teknologi dan kepelbagaian media penyebaran juga menjadi faktor kenapa fahaman ini mudah menyelusup masuk ke seluruh dunia
dan mempengaruhi bukan sahaja golongan bawahan bahkan termasuk cerdik pandai dan profesional.
Situasi ini akan menjadi lebih buruk jika kita hanya duduk diam serta tidak melakukan apa-apa tindakan. Sebaliknya usaha berterusan perlu difikir, diteliti, dirancang dan dilaksanakan bagi membendung fahaman ini.
Berbangkit mengenai haji, bagi musim haji ini (2023), TH telah umumkan kenaikan kos haji antara RM1,000 hingga RM2,000 mengikut kumpulan. Ekoran itu, ada desakan agar TH selepas ini menetapkan kos tetap, jika ada kenaikan ia perlu ditanggung kerajaan. Ulasan Datuk?
Kewajipan menunaikan haji tertakluk kepada kemampuan (istito’ah) seseorang dan kemampuan kewangan merupakan antara syaratnya, manakala TH pula ditubuhkan bagi membantu orang Islam menabung untuk menunaikan haji. Namun, kita perlu faham kos haji semakin meningkat dan ia di luar kawalan TH seperti harga penerbangan, penginapan dan perkhidmatan di Tanah Suci.
Peningkatan kos itu akan memberi kesan kepada kelestarian kewangan TH kerana mereka perlu menampung kira-kira RM400 juta setahun dalam bentuk Bantuan Kewangan Haji. Oleh sebab itu, TH memperkenalkan bantuan itu secara bersasar pada 2022 dan ditambah baik pada 2023. Alhamdulillah, kesedaran mengenai konsep istito’ah dalam ibadah haji kian meningkat di mana pada 2023, seramai 14 orang B40 dan 55 orang M40 bersetuju bayar penuh kos haji.
Tahun ini, TH menetapkan Bantuan Kewangan Haji kepada kumpulan B40 dan M40 pertama kali menunaikan haji. Namun, kumpulan T20 dikenakan bayaran penuh RM30,850 dan media laporkan situasi tersebut dikatakan menyebabkan ada golongan T20 tolak tawaran haji atas alasan kurang mampu. Sejauh mana kebenarannya?
Adalah tidak benar bahawa ramai T20 menolak tawaran haji.
Pada musim haji 1444H/2023M, sebanyak 27 peratus jemaah haji negara memilih pakej swasta yang harganya lebih daripada kos penuh haji iaitu RM30,850.
Peratusan itu juga meningkat daripada kebiasaannya di mana kira-kira 20 peratus jemaah memilih pakej swasta setiap tahun.
Ada mengadu T20 mungkin miliki beban tanggungan banyak seperti anak ramai, sedangkan mungkin ada M40 yang berpendapatan lebih rendah tetapi tiada tanggungan tinggi, namun terima subsidi. Adakah ia adil?
TH perlu adil kepada semua pendepositnya dan ini bukanlah mudah. Daripada hampir sembilan juta pendeposit, 3.8 juta telah mendaftar haji, namun kuota rasmi negara hanya sekitar 31,600. Pada masa sama, pendeposit juga mahukan agihan keuntungan baik setiap tahun, tetapi TH perlu menanggung RM400 juta untuk Bantuan Kewangan Haji. Inilah cabaran kami bagi mengimbangi pelbagai jangkaan daripada semua pemegang taruh.
Apakah pelaksanaan klasifikasi subsidi haji sebegini diteruskan pada tahun akan datang?
TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar pada masa depan bagi memastikan kelestarian kewangannya. Bagaimanapun, TH juga akan sentiasa mengkaji dan tambah baik proses serta urusan haji dalam menjaga kebajikan jemaah negara.
Mengenai industri halal pula, Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu penanda aras berhubung sijil halal bakal diumum tidak lama lagi ekoran wujudnya dakwaan sukar mendapat sijil halal. Bagaimana perkembangannya?
Jakim amat komited untuk memastikan segala proses kerja dan tata kelola pengurusan pensijilan halal berjalan lancar dan berkesan. Jadi, bagi memastikan saranan Ahmad Zahid dijalankan, Jakim telah menyediakan Nota Jemaah Menteri dan dibentangkan sendiri oleh saya untuk memberi penjelasan berkaitan proses Pensijilan Halal Malaysia.
Menerusi nota itu, kita telah kemuka beberapa langkah proaktif dan sedang dalam proses bagi mengurus Pensijilan Halal Malaysia supaya perkhidmatan disampaikan berkualiti serta mampu menzahirkan komitmen Jakim sebagai pihak berkuasa berwibawa dalam pensijilan halal negara. Antara usaha dijalankan ialah pelaksanaan Bussiness Process Reengineering, penubuhan kumpulan fokus di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan pemerkasaan pendigitalan.
Bagi pemerkasaan pendigitalan, sistem MyHalal Ingredient antara sistem yang sedang giat dibangunkan bagi mengumpul semua maklumat bahan mentah yang digunakan dalam permohonan Pensijilan Halal. Pemohon boleh dapatkan senarai bahan mentah yang telah disahkan status halalnya melalui sistem itu.
Melalui sistem ini, tempoh semakan dokumen bagi permohonan Pensijilan Halal berupaya disingkatkan dengan semakan bahan mentah tidak perlu lagi dilakukan secara manual. Pemohon juga tidak perlu hantar dokumen secara hard copy ke kaunter. Sistem ini dijangka boleh digunakan pada tahun 2024 setelah proses memasukkan data selesai dilakukan. Antara lain juga ialah pelaksanaan e-Cert iaitu cetakan sijil halal dalam talian akan dilaksanakan untuk kemudahan pihak industri. Dengannya, pemohon boleh cetak sendiri sijil halal dengan kadar segera tanpa perlu hadir ke kaunter untuk ambil sijil halal atau menunggu sijil halal tersebut dihantar melalui khidmat pos ke negeri-negeri.
Penambahbaikan ini sekali gus mempercepat proses pengeluaran pensijilan halal Malaysia pada masa akan datang.
















