fbpx

Tuisyen Cikgu Saarani bantu calon SPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROGRAM Tuisyen Cikgu Saarani berjaya melonjakkan pencapaian calon-calon SPM sejak dua tahun lalu.

SUNGAI SIPUT – Pelaksanaan program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) bagi membantu persiapan calon-calon peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) disifatkan sebagai satu kejayaan oleh golongan ibu bapa.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Muda Abdul Aziz, Dr. Noor Azmi Osman berkata, ini kerana pencapaian peperiksaan SPM bagi pelajar sekolah berkenaan sejak dua tahun lalu telah menunjukkan keputusan yang positif.

Sebagai contoh katanya, bagi subjek Matematik, bilangan pelajar yang lulus meningkat dari 59.85 peratus pada 2021 kepada 68.86 peratus tahun lalu.

“Begitu juga dengan subjek Pendidikan Islam, pada 2021, peratus lulus yang dicapai adalah 89.06 peratus dan terus meningkat tahun lalu iaitu 98.99 peratus.

“Bahkan, terdapat lapan subjek yang mana semua pelajar lulus iaitu Reka Bentuk Grafik Digital, Pendidikan Seni Visual, Prinsip Perakaunan, Reka Cipta, Ekonomi, Sains Rumah Tangga, Sains Komputer dan Grafik Komunikasi Teknikal,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Program TCS merupakan inisiatif di bawah pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad pada 3 Februari 2021.

Menerusi inisiatif itu, calon SPM yang mengikuti sesi pembelajaran secara harian di sekolah akan diberikan bantuan makanan khas sebelum memasuki kelas tambahan di premis tersebut.

Pada masa sama, Noor Azmi berkata, program TCS juga membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa pelajar harian di sekolah berkenaan yang rata-rata mereka merupakan golongan B40.

“Mereka ini kebanyakannya terlibat dalam sektor seperti perladangan, malah ada juga yang berniaga secara kecil-kecilan bagi menampung kehidupan mereka.

“Jadi, dengan adanya program TCS, mereka tidak perlu risau untuk menghantar anak ke kelas-kelas tuisyen di luar yang menelan belanja sehingga ratusan ringgit sebulan,” katanya.

Menurut beliau, program itu juga memastikan golongan pelajar tidak terlepas makan tengah hari kerana bantuan itu turut disediakan.

“Dengan peruntukan yang diterima dari kerajaan negeri, pihak sekolah berupaya menyediakan hidangan lengkap bagi para pelajar. Jadi, mereka tidak perlu pulang ke rumah untuk makan dan ia akan menjimatkan masa pelajar.

“Daripada apa yang telah dicapai sehingga hari ini, program TCS ternyata merupakan satu langkah yang perlu bagi membantu golongan calon SPM. Terima kasih Datuk Seri Saarani Mohamad atas inisiatif amat baik ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI