TUJUH tahun lalu, nama wanita ini pernah tular dan menjadi bualan netizen terutama mereka yang gemar menonton televisyen.
Digelar sebagai awek, minah atau gadis Trivago, pemilik nama penuh Dahlia Shazwan Mohd. Amin langsung tidak pernah menyangka hidupnya bakal berubah sekelip mata.
Menurut Dahlia, semuanya bermula apabila dia menghadirkan diri dalam sesi uji bakat pada tahun 2016 dan itulah detik yang merubah seluruh hidupnya.
Diberi kepercayaan untuk menjadi jurucakap atau wajah Trivago Malaysia, Dahlia tidak menyangka sejak dari detik itulah dia mula mencipta populariti tanpa disengajakan.
Pun begitu, selepas empat tahun setia berkhidmat bersama jenama gah aplikasi pencarian hotel terkemuka dunia itu, dia terpaksa mengucapkan selamat tinggal atas sebab tertentu.
“Ketika tahun 2016, saya pergi uji bakat dan tidak tahu yang ia akan mengubah seluruh hidup saya.
“Namun, selepas empat tahun iaitu pada tahun 2019, saya terpaksa mengucapkan selamat tinggal untuk peranan terbaik yang pernah saya lakukan menjadi Miss Trivago Malaysia.
“Empat tahun berada di kaca televisyen sebagai wajah Trivago. Sedih memang sedih kerana dari situ jugalah kerjaya dan populariti saya dalam bidang pengacaraan berputik,” katanya kepada Aura.
Katanya, mana mungkin dia dapat melupakan kerjaya dan tugas serta tanggungjawabnya itu walaupun telah hampir empat tahun berlalu.
“Trivago benar-benar telah menjadi sebahagian dalam hidup saya.
“Sejak sebelum kahwin, lepas kahwin, masa tengah mengandung, lepas berpantang sampailah saya ambil keputusan untuk meninggalkannya,” katanya yang kemudian turut dikenali dalam bidang pengacaraan televisyen.
Ditanya mengenai perkembangan terbaharunya sementelah dia dilihat meninggalkan dunia pengacaraan sebagai pengacara program hiburan HLive tahun lalu, Dahlia berkata, dia kini lebih banyak berada di belakang tabir misalnya sebagai penerbit selain lebih banyak meluang masa bersama keluarga.

Jelasnya, dia belum lagi meninggalkan bidang pengacaraan, cuma buat masa ini tidak terikat dengan mana-mana stesen televisyen sekali gus lebih mudah menguruskan semua perkara.
“Sekarang ini saya lebih terbuka untuk terima apa sahaja jenis program sesuai mengikut waktu yang saya ada.
“Jadi dengan masa yang ada, saya boleh luangkan masa lebih banyak dengan anak dan uruskan hal rumah tangga.
“Jujur kata, sepanjang saya bekerja sebelum ni, saya kurang beri perhatian kepada hal rumah tangga, semua pembantu uruskan dan sekarang saya dapat rasa kepayahan serta kepuasan menjadi isteri dan ibu,” katanya.
Selepas meninggalkan Trivago, dia juga membuat satu keputusan dan pengorbanan dalam hijrah hidupnya sebagai wanita Muslim.
Ditanya bagaimana kehidupan ketika ini lebih-lebih lagi selepas mengenakan hijab penuh usai pulang daripada mengerjakan umrah, Dahlia mengakui lebih tenang dan dekat dengan Maha Pencipta.
“Kalau ditanya, dari segi spiritual, tentunya rasa lebih dekat dengan Pencipta dan lebih peka dengan hukum serta tujuan sebenar kita hidup di dunia.
“Bila kita tahu tujuan kita di dunia, perlahan-lahan kita faham kenapa hidup kita diatur sebegini, kenapa kita diuji dan kita tidak akan cepat melatah.
“Apapun yang berlaku, itu aturan Allah yang paling baik buat saya, tidak kira saya suka ataupun tidak. Selalu berlapang dada, bersyukur dan bersangka baik kepada Allah,” tuturnya.
Seiring dengan hijrah dan pengorbanan yang dilakukan, Dahlia juga mengakui dan sedari istiqamah itu bukanlah satu perkara mudah.
“Apabila kita didatangi cabaran, hati dan minda seakan sudah menantikan cabaran itu dan membuatkan kita bersedia untuk harungi.
“Allah tidak mengharapkan kesempurnaan daripada kita, tetapi Dia mahu kita buat yang terbaik.
“Dunia sekarang terutama media sosial mempengaruhi iman kita, jadi apa yang saya lakukan kurangkan masa untuk itu dan jangan sesekali kita bezakan diri dengan orang lain,” katanya.
Seperkara lagi yang menarik perhatian netizen dan pengikutnya usai dia berhijrah adalah mengenai misi dan kerja amal yang sering dilakukan Dahlia.
Diaju bila dia mula melibatkan diri secara aktif dengan kerja-kerja amal tersebut, Dahlia memberitahu semuanya berlaku selepas dia berhijab.
“Waktu itu terdetik dalam diri apa manfaat dan kebaikan yang saya boleh beri kepada manusia lain di dunia ini.
“Selama ini, saya hanya hidup untuk diri sendiri sahaja. Selama ini saya hanya kejar kebahagiaan untuk diri sendiri dan rasa tak pernah cukup.
“Persoalan itu acapkali bermain di minda, namun saya tidak tahu bagaimana cara untuk saya mulakan.
“Alhamdulillah, bagai dicita ulam mendatang dan diberi lorongan, tidak lama selepas itu, pertubuhan bukan kerajaan, Malaysia For Syria datang dan tawarkan peluang untuk saya menjadi ikon kemanusiaan mereka dan terus saya terima tanpa banyak fikir,” katanya.
Menurutnya, setakat ini misi kemanusiaannya berfokus kepada pelarian Syria di negara-negara Arab.
Berkongsi sedikit pengalaman sepanjang hampir empat tahun menjadi ikon kemanusiaan, katanya waktu paling genting bagi pelarian-pelarian Syria adalah ketika musim sejuk.
“Sebenarnya banyak nikmat yang Allah beri saya ambil mudah terutama kebebasan untuk bergerak ke negara sendiri.
“Di Malaysia, walaupun kurang kemampuan, masih berpeluang mencari pekerjaan atau berjalan tanpa perlu risau risiko dibom atau mati syahid.
“Kerisauan itu tiada, kecuali risaukan kewangan. Jadi, itu satu perkara yang saya tidak akan lupa tentang betapa hebatnya nikmat kebebasan yang kita selalu ambil mudah,” katanya.
Mengakhiri kisah, Dahlia secara peribadi memberitahu erti pengorbanan bagi dirinya adalah sesuatu yang tidak semestinya anda sukai atau lakukannya dengan satu sebab atau seseorang.
“Jika ditanya, saya tak pernah terkenang atau teringat apa pengorbanan yang saya lakukan sebab semua itu berlaku masa lalu dan saya tak pernah kenang pada masa sekarang.
“Apa yang lepas biarkan berlalu dan jika pengorbanan itu membuahkan hasil, itu semua daripada Allah dan jika tidak buahkan apa-apa, sama ada masanya belum tiba atau ada hikmah di sebaliknya,” ungkap Dahlia.














