fbpx

PKNS bina CLQ pertama di Selangor 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin (kiri) melihat model projek CLQ PKNS di Bandar Sultan Suleiman, Klang hari ini.

KLANG – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membina sebanyak 336 unit rumah bagi menempatkan sehingga 5,712  pekerja untuk Projek Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) di Bandar Sultan Suleiman di sini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembinaan CLQ pertama oleh kerajaan negeri itu mengambil model daripada pelaksanaan penempatan pekerja di Balakong, Bangi dan Petaling Jaya serta negara lain seperti Dubai di Qatar dan Singapura.

“Kita akan melihat peraturan yang ada dan kita masih boleh buat walaupun satu-satu unit perumahan itu akan menempatkan lebih daripada 10 orang.

“Ini adalah berdasarkan peraturan yang kita buat, keluasan (rumah) lebih 1,200 kaki persegi itu akan melibatkan pengudaraan dan kemudahan baik,” katanya selepas melancarkan Projek Pembangunan Lestar CLQ PKNS di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan tanda tangan memorandum persefahaman (MoU) bagi pembinaan CLQ bernilai RM120 juta itu yang melibatkan PKNS, PKNS FM Integrated Sdn. Bhd. dan Inter Great Sdn. Bhd.

CLQ seluas 1.7 hektar dijadualkan mula dibina seawal akhir tahun ini dan dijangka siap pada 2028.

Jelas Amirudin, kemasukan pekerja ke kuarters berkenaan akan melibatkan urusan dengan pengusaha-pengusaha kilang serta permintaan daripada individu, namun pada peringkat awal keutamaan diberikan kepada majikan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas memberitahu seunit rumah akan menempatkan sehingga 17 orang pekerja dalam satu-satu masa dengan caj sewaan sebanyak RM350 sebulan seorang. 

“Pendekatan sewaan ini sejajar dengan komitmen PKNS terhadap strategi jangka panjang untuk memastikan kelestarian kuarters itu.

“Pembinaan CLQ selaras dengan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990, malah PKNS maju selangkah ke depan dengan mematuhi standard daripada Organisasi Pekerjaan Antarabangsa (ILO),” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI