fbpx

Pekebun kecil sawit rugi RM100 juta setahun ‘diserang’ ulat bungkus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FADILLAH Yusof melihat sampel ulat bungkus di Pusat Latihan Akademi Sawit Malaysia (Plasma) Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Keratong, Rompin, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF

ROMPIN – Pekebun kecil sawit seluruh negara mengalami kerugian RM100 juta setahun ‘diserang’ ulat bungkus yang menjejaskan pengeluaran dan produktiviti pokok sawit antara 15 hingga 20 peratus.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, berdasarkan kajian dilakukan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kira-kira 30,000 hektar ladang kelapa sawit milik pekebun kecil komoditi itu berdepan ancaman serangan serangga perosak terbabit.

Sehubungan itu katanya, kerajaan menerusi MPOB memperuntukkan sebanyak RM12 juta untuk tempoh lima tahun bagi pelaksanaan kawalan ulat bungkus secara bersepadu.

“Kerajaan melalui MPOB berusaha sedaya upaya untuk mengawal serangan serangga perosak tanaman sawit daripada terus merebak. Saya dimaklumkan MPOB sudah membangunkan kaedah kawalan ulat bungkus melalui sistem kawalan perosak bersepadu (IPM).

“Teknik IPM melibatkan pelbagai kaedah kawalan seperti semburan udara atau darat menggunakan biopestisid berasaskan Bacillus thuringiensis (Bt), pemasangan perangkap feromon semulajadi dan penanaman tanaman bermanfaat untuk meningkatkan populasi serangga bermanfaat di ladang-ladang sawit bagi mengawal pembiakan ulat bungkus.

“Melalui peruntukan disediakan kerajaan, MPOB sudah menjalankan inisiatif kawalan semburan udara menggunakan dron semenjak 2017. Bermula tahun ini, buat pertama kalinya, MPOB memperkenalkan kaedah semburan udara produk Bt untuk kawalan ulat bungkus menggunakan helikopter,”katanya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Penggunaan Helikopter bagi Kawalan Bersepadu Serangga Perosak Ulat Bungkus dan Pecah Tanah Kilang Sawit Pintar di Pusat Latihan Sawit Malaysia (Plasma) MPOB di sini hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pemantauan dan bancian populasi ulat bungkus secara berterusan di ladang sawit adalah penting dalam memastikan populasi serangga perosak itu dapat dikawal.

Katanya, MPOB akan terus melakukan pemantauan dan kawalan ulat bungkus terutama di ladang-ladang milik pekebun kecil persendirian.

“MPOB juga bersedia memberi khidmat nasihat serta tunjuk ajar kepada pihak estet dan pekebun kecil sawit dalam menangani serangan ulat bungkus termasuk pemantauan dan langkah-langkah kawalan pembiakan,” katanya.

Menurutnya, beliau dimaklumkan usaha kerajaan melalui MPOB dalam menangani ancaman ulat bungkus berjaya mengurangkan populasi serangga itu di ladang sawit.

“Melalui bancian terkini di Johor, serangan ulat bungkus melibatkan 19,000 hektar kawasan tanaman sawit telah berkurangan kepada 4,000 hektar pada tahun ini. Di Perak, ancaman ulat bungkus juga telah berjaya dikurangkan dengan penurunan populasi ulat bungkus melebihi 95 peratus,” katanya.

Sementara itu, industri sawit negara yang berusia lebih seabad sejak mula ditanam secara komersial pada 1917 terus berdepan pelbagai cabaran yang boleh menggugat kemajuan dan pertumbuhan secara mampan.

Antaranya cabaran ialah serangan perosak tanaman sawit khususnya ulat bungkus yang merosakan pokok sawit matang diusahakan syarikat perladangan dan pekebun kecil.

“Memandangkan ancaman serius serangan ulat bungkus yang menggugat sektor perladangan sawit, ulat bungkus diwartakan sebagai makhluk perosak berbahaya. Impak serangan ulat bungkus kepada pokok sawit telah menjejaskan pengeluaran hasil sawit dan pendapatan pengusaha ladang,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI