fbpx
PELANGGAN mengutip sendiri durian di kebun Durian Tok Ayob di Pontian baru-baru ini.

Orang Johor, Singapura serbu dusun makan durian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Penggemar raja buah di selatan tanah air serta pelancong asing terutama warga Singapura kini memilih untuk menikmati durian segar di kebun bersama keluarga.

Pemilik Kebun Durian Tok Ayob, Ayob Ketot, 72, berkata, musim durian gugur sejak pertengahan Mei lalu membuka peluang rezeki apabila ramai pelanggan berkunjung ke kebunnya untuk merasai suasana mengutip, membersihkan dan mengopek sendiri durian.

“Sejak buah durian mula gugur, kebun kami tidak putus-putus dikunjungi ‘hantu durian’. Ada datang dari Johor Bahru dan ada juga orang Singapura yang merasai kesegaran buah durian di kebun.

“Mereka bawa keluarga, anak-anak kecil untuk mengutip sendiri buah durian yang gugur. Malah, ada juga pelanggan minta kami untuk ajar mereka cara-cara mengopek buah durian.

“Ini merupakan satu trend orang kita, selain makan buah durian segar, mereka dapat rasai suasana orang kampung kutip buah durian,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Ayob berkata, Dusun Durian Tok Ayob turut menyediakan pakej durian bakul mampu milik serendah RM100 dengan pelbagai jenis varieti.

ORANG ramai datang ke kebun untuk menikmati sendiri kelazatan durian bersama keluarga.

Ujarnya, hujung minggu terutama hari Khamis sehingga Ahad, pelanggan akan memenuhi kebun seluas 1.2 hektar itu.

Antara varieti raja buah dita­namnya ialah durian kampung, Musang King, IOI, D13 dan lain-lain.

Sementara itu, seorang pe­ngunjung dari Johor Bahru, Roslina Ismail, 42, berkata, dia dan suaminya membawa keluarga bagi merasai keseronokan mengutip buah durian di kebun.

“Setiap kali tiba musim durian, kami sekeluarga terutama anak-anak akan berkunjung ke kebun durian. Dua tahun lepas, kami tidak dapat sebab Covid-19, kini dah boleh masuk kebun.

“Kalau kita beli buah yang dijual di tepi jalan atau pasar borong, kualiti atau kesegaran agak berbeza berbanding makan di kebun.

“Kita boleh pilih buah yang baru gugur, rasa fresh panas-panas lagi dan tak sama dengan yang dijual luar kebun.

“Banyak kelebihan, makan di kebun kalau kita kopek, buah mengkal atau tidak elok, boleh terus tukar,” katanya.

Seorang lagi penggemar durian, Azizi Majid, 40, berkata, aktiviti makan durian di kebun juga dapat mengisi kualiti masa bersama keluarga.

Katanya, musim durian yang panjang sehingga akhir Oktober memberi peluang kepadanya dan keluarga untuk merasai kenikmatan raja buah untuk tempoh yang lebih lama.

“Kami sudah rasa hampir semua buah-buah durian hasil kebun di daerah-daerah Johor. Buat masa ini, buah durian dari Segamat antara yang paling sedap pernah saya rasa,” katanya lagi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN