fbpx

LTU dari Kuala Krai ke Bentong dijangka siap 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LALUAN Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Raub mula dibuka semalam dan dijangka digunakan 500,000 kenderaan pada Aidiladha minggu ini.

RAUB – Projek lebuh raya tanpa tol, laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) mampu disiapkan lebih awal iaitu pada 2025 berbanding tempoh masa yang ditetapkan pada 2026.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, pada masa ini pembinaan laluan kira-kira 300 kilometer yang menghubungkan Kelantan dengan Pahang telah siap 54 peratus atau kira-kira 160 kilometer.

“Sememangnya kalau diikutkan kontrak, lebih kurang tahun 2026 (siap keseluruhan) tetapi kita di Kementerian Kerja Raya atau Jabatan Kerja Raya sentiasa ‘for­cing’ kepada kontraktor-­kontraktor kalau dapat sasarannya awal iaitu pada 2025.

“Dari segi lawatan saya, kalau kontraktor yang kita nasihati itu boleh melaksanakannya, saya yakin pada 2025 kita boleh menggunakan jalan itu (keseluruhan LTU),” katanya pada sidang akhbar pada majlis penyerahan projek siap dan pembukaan jalan Lingkaran Tengah Utama Sek­syen 5B: Kampung Orang Asli Sungai Chandan ke Kampung Asap dan sebahagian Seksyen 5A: Persimpangan Krau, Raub, di sini semalam.

WAN ROSDY (enam dari kanan) dan Abdul Rahman (tujuh dari kanan) menyempurnakan pembukaan jalan Seksyen 5B dan sebahagian Seksyen 5A Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Raub kelmarin.

Projek LTU merupakan pembinaan jalan baharu dan menaik taraf jalan sedia ada sepanjang kira-kira 300 kilometer dari Kuala Krai, Kelantan ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) Bentong.

Dalam pada itu mengulas mengenai pembukaan laluan daripada Persimpangan Keruntung, Bentong ke Persimpa­ngan Krau, di sini, beliau berkata, laluan berkenaan berjaya di­siapkan awal dua bulan dari jadual ditetapkan.

Beliau memberitahu, pembinaan LTU Seksyen 5B ini telah dimulakan pada 14 Mac 2018 dan siap pada 6 Mac 2023 dengan kos projek sebanyak RM294.6 juta.

Katanya, pembukaan laluan baharu ini yang melibatkan pakej 5B dan sebahagian pakej 5A amat signifikan yang dijangka akan merekodkan kira-kira 500,000 kenderaan yang melalui laluan itu sepanjang Hari Raya Aidil­adha.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembukaan laluan sepanjang 18.6 kilometer tepat pada masanya selain di­jangka digunakan kira-kira 500,000 kenderaan dalam musim perayaan Aidiladha.

Katanya, pembukaan laluan berkenaan juga amat signifikan dalam mengatasi kesesakan lalu lintas dan memacu ekonomi penduduk setempat.

“Manfaat yang kita dapat daripada jalan ini ialah memendekkan perjalanan daripada 45 minit kepada 15 minit dan dari segi ­jaraknya daripada 30 kilometer kepada 18.6 kilometer.

“Ada enam pakej (projek LTU di Pahang) dan setakat ini yang sudah siap tiga pakej, ­insya-Allah pada Disember buka lagi satu bagi pakej laluan iaitu Raub Bypass (me­libatkan 25.6 ­kilo­meter),” ujar beliau. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI