fbpx

Wanita warga asing disiasat kes bunuh dalam ladang sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

LUMUT – Seorang wanita warga asing ditahan untuk siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki tempatan disyaki dibunuh dalam sebuah ladang kelapa sawit di Ayer Tawar, dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri, berkata wanita berusia 38 tahun itu ditahan di sekitar Ayer Tawar kira-kira pukul 3.30 pagi, hari ini.

“Siasatan mendapati suspek adalah kenalan mangsa yang juga berusia 38 tahun,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, terdahulu polis menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki kira-kira pukul 5.15 petang semalam memaklumkan menemui seorang lelaki terbaring dan tidak sedarkan diri dalam ladang sawit dekat kilang papan di Ayer Tawar.

Maklumnya, siasatan awal mendapati mangsa mati di tempat kejadian dengan kesan beberapa tetakan pada tubuhnya.

Jelasnya, polis turut menemui dua batang besi cangkuk tandan kelapa sawit, sebatang besi, satu jaring untuk mengutip buah sawit lerai, sehelai tuala serta motosikal milik mangsa di lokasi kejadian.

Terangnya lagi, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat dan dapatan daripada proses itu kira-kira pukul 10 pagi hari ini mengesahkan punca kematian akibat kecederaan di kepala dan pendarahan yang banyak ekoran kesan tetakan senjata tajam.

Beliau menjelaskan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mohd. Yusri memaklumkan, suspek wanita tersebut direman mulai hari ini sehingga 1 Julai depan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Asisten Superintendan Mohd. Azalan Ab. Karim di talian 019-3927837 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI