MENGUKUHKAN nama di persada seni suara bukan lagi keutamaan buat penyanyi bersuara lunak, Liza Hanim.
Jenamanya sebagai seorang penyanyi sudah cukup kukuh sejak berkecimpung dalam dunia seni hampir tiga dekad lalu.
Sekian banyak tahun bergelumang dunai seni yang tidak lekang daripada sepak terajang, anak kelahiran Klang, Selangor itu bagaimanapun tidak sesekali akan meletakkan sasaran untuk melangkah keluar daripada rumah rezekinya.
Pada usia 44 tahun, dia hanya mengikut setiap aturan hidup yang sudah ditetapkan Tuhan untuknya.
Perihal berhenti untuk menyanyi mula tercetus apabila Liza menzahirkan sedikit kebimbangan terhadap perubahan vokalnya selepas dijangkiti Covid-19 kali ketiga, baru-baru ini.
Ujarnya, virus tersebut menjadikan suaranya sedikit berubah, namun bersyukur tidak terlalu teruk.
“Dijangkiti Covid-19 buat kali ketiga tempoh hari memang lain sangat impaknya. Saya rasa seperti mahu mengalah dan kecewa.

“Virus itu memberi kesan kepada pernafasan dan stamina tetapi saya bersyukur sebab tidak seteruk orang lain yang perlu mendapatkan rawatan di hospital,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Ditanya kebimbangan terhadap keupayaan vokalnya untuk beberapa tahun akan datang, ibu kepada lima cahaya mata itu beranggapan situasi sebegitu normal bahkan dia cukup percaya rezeki Tuhan.
“Siapa yang tidak risau, suara ini saya guna untuk cari makan tetapi perlu mula terima hakikat bahawa usia sudah 44 tahun.
“Apabila umur meningkat, banyak perubahan pada badan kita akan berlaku dan saya anggap semua ini perkara normal,” ujar pelantun lagu Gelisah Mimpi itu reda.
Ditanya sama ada kebimbangan tersebut membuatkan dirinya terasa hendak bersara awal daripada dunia nyanyian, jawapannya tidak sama sekali.
“Saya hanya manusia biasa dan akan turut melalui kulit berkedut dan proses penuaan.
“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana masih lagi boleh menyanyi sehingga hari ini. Alhamdulillah masih ada orang yang mahu mendengar suara saya.
“Jika Tuhan sudah tetapkan masa untuk saya berhenti menyanyi, saya reda tetapi untuk masa sekarang, tiada hasrat untuk menoktahkan karier seni yang susah payah dibina sejak 27 tahun lalu sebab ini adalah cinta saya,” kongsinya.
Konsert solo
Selain perihal berhenti menyanyi, naib juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4) itu masih menyimpan kemas impiannya untuk mengadakan konsert solo.
Masakan tidak, ketika penyanyi lain berlumba-lumba mengadakan konsert solo, hatinya pasti terusik dan terdetik memiliki impian sama.

Konsert solo adalah impian setiap penyanyi dan begitu juga dirinya tetapi pelbagai kekangan yang muncul menyebabkan impian tersebut masih belum berjaya direalisasikan.
“Impian sebagai penyanyi? Konsert sololah. Dengar macam senang tetapi sebenarnya susah nak dijadikan realiti.
“Kalau diberi kesempatan, hanya saya yang akan menyanyi pada acara itu sebab konsert itu milik saya dan mahu semua fokus kepada Liza Hanim sahaja.
“Mengenai lokasi, belum ada perancangan tetapi pasti saya mahukan tempat yang besar. Sama-samalah kita doa supaya impian saya ini terlaksana,” tuturnya.
P. Ramlee
Berkongsi penglibatannya dalam Konsert P. Ramlee Signature A Minor 7 yang bakal berlangsung pada 7 dan 8 Julai depan di PJ Performing Arts Centre, Petaling Jaya, Liza bersyukur namanya terpilih untuk mendendangkan lagu-lagu milik seorang legenda muzik tanah air.
“Agak terkejut juga apabila saya dipilih bersama Sean Ghazi sebagai penghibur untuk konsert itu nanti.
“Walaupun sudah beberapa kali muncul dalam konsert tribute P. Ramlee, saya tidak pernah bosan pun tetapi menganggapnya sebagai penghargaan buat saya.
“Itu juga bermakna mereka yakin dengan kemampuan saya untuk mendendangkan karya hebat milik Tan Sri P. Ramlee,” katanya.

Bagi pemilik suara emas itu, dia enggan menabur harapan setinggi langit tetapi yakin penonton yang hadir pada malam konsert itu nanti tidak akan pulang dengan rasa kecewa.
“Kolaborasi dengan Sean dan Aubrey sesuatu yang sangat menakjubkan. Komitmen dan tenaga mereka untuk konsert ini memang hebat.
“Kami sangat seronok menikmati karya Allahyarham dan berusaha untuk memberikan yang terbaik tanpa mengabaikan keaslian karya pada persembahan konsert itu nanti,” ujarnya.
Lagu-lagu pada konsert sempena memperingati 50 tahun pemergian Tan Sri P. Ramlee itu akan mendapat sentuhan pemuzik tersohor, Aubrey Suwito selain diselangi monolog solo Sobri Anuar.














