fbpx

Dua pelajar buta cemerlang SPM terima sumbangan YGMB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Muie (lima dari kiri) dan Wan Munadi (enam dari kiri) bersama Khairulanwar (tiga dari kiri) dan Wan Syahirul (lima dari kanan) pada majlis penyampaian sumbangan khas pelajar berkeperluan khas SPM di SMK Bukit Besar, Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Pelajar cacat penglihatan, Khairulanwar Zakaria, 19, yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 baru-baru ini menerima penghargaan daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar yang memperoleh 5A+ dan 2A tersebut menerima sumbangan RM1,000 berupa wakalah zakat daripada YGMB.

“Terima kasih atas keprihatinan YGMB. Saya bercadang menyimpan sumbangan ini untuk persiapan untuk melanjutkan pelajaran nanti.

“Ia juga menguatkan lagi semangat saya untuk bergelar pendidik suatu hari nanti,” katanya pada majlis penyampaian Sumbangan Khas Pelajar Berkeperluan Khas SPM 2022 di SMK Bukit Besar di sini hari ini.

Sumbangan tersebut disampaikan Pengarah Pendidikan Terengganu, Abdul Muie Ngah sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Selain Khairulanwar, YGMB turut menghulurkan sumbangan wakalah zakat RM1,000 kepada seorang lagi pelajar berkeperluan khas penglihatan, Wan Syahirul Wan Yusuf, 19, yang memperolehi 5A dalam SPM.

Dalam pada itu, Abdul Muie berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu akan membantu Khairulanwar dan Wan Syahirul untuk melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Guru (IPG).

Beliau juga menggalakkan golongan guru seluruh negara menyertai empat skim manfaat yang ditawarkan YGMB.

“Sudah ramai guru-guru termasuk di Terengganu menerima manfaat daripada skim ditawarkan YGMB. Saya sendiri pun menyertai Skim Emas (YGMB),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI