fbpx

Skandal kekasih muda, lelaki didakwa belasah isteri sampai parah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Gara-gara berang isteri menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki muda, seorang tukang bersih rumah inap desa didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan wanita itu sehingga parah, Isnin lalu.

Tertuduh, Azwan Azman, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Noraishah Ya’acob, 28, menggunakan sebatang golf, baton besi dan kayu buluh.

Perbuatan itu dilakukan pada pukul 3.30 pagi di sebuah rumah di Jalan Seri Emas 3, Taman Seri Telok Mas, di sini pada 19 Jun lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh yang mempunyai dua anak boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas tertuduh mendapat tahu mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan seorang pemuda berusia 19 tahun.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N.Siva Shangari tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan mengambil kira kecederaan parah yang dialami mangsa.

Peguam Muhammad Syah Azlan Abdullah yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan ibu tertuduh yang akan menjadi penjamin hanya membawa wang sebanyak RM4,000.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Darmafikri membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 beserta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri sekali pada setiap bulan di balai polis berhampiran dan tidak menganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 1 Ogos depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI