fbpx

Artis buat konsert untuk cipta momen bersama peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NURHALIZA membuat persembahan di Konsert A Night To Remember Siti Nurhaliza di Pusat Konvesyen Antarabangsa Persada Johor Bahru pada Disember lalu di Johor.

PETALING JAYA – Tiga penyanyi terkenal tanah air menjadikan pentas konsert untuk lebih dekat dan menghargai peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seni mereka.

Kata penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, walaupun tidak me­ngadakan konsert berskala besar sejak beberapa tahun tetapi dia tetap mengadakan persembahan amal bagi mengumpul dana bagi Yayasan Nurjiwa.

Jelasnya, persembahan amal itu tetap memenuhi spesifikasi seperti konsert skala sederhana bagi persembahan eksklusif itu.

Tahun ini, Siti Nurhaliza sekali lagi tampil menerusi persembahan konsert Satu Suara Vol. 3 pada Mei lalu dan merancang untuk mengadakan sebuah lagi konsert berskala besar pada bulan Julai nanti.

Bagaimanapun, perancangan tersebut terpaksa ditunda ke tahun hadapan, ekoran kebanjiran konsert daripada penyanyi lain pada tahun ini.

“Saya mengambil keputusan untuk menangguhkan konsert solo berskala besar saya pada tahun hadapan kerana melihat kebanjiran penganjuran konsert tahun ini.

“Lagi pun saya rasakan jarak antara persembahan saya pada Mei lalu terlalu dekat jika mahu lakukan konsert solo pada Julai nanti,” jelasnya.
Pelantun lagu Percayalah itu mengakui memang ada segelintir penggemarnya sanggup berhabis, untuk memberi sokongan terhadap artis kegemaran mereka.

“Saya akui ada peminat yang sanggup berhabis untuk menonton artis kesayangan mereka ke­rana mahu menjadi saksi dalam konsert yang melibatkan pe­nyanyi kegemarannya.

Kosmo! semalam melaporkan ramai anak muda sanggup berhabis untuk membeli tiket konsert artis tempatan mahu pun luar negara.

Bagi penyanyi bergelar ratu rock negara, Ella, selepas sekian lama tidak menganjurkan konsert berskala besar, kejayaan yang diraih menerusi penganjuran konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota di Axiata Arena Bukit Jalil pada 10 dan 11 Jun lalu menjadi bukti dirinya masih dihargai dan diminati peminat.

Penyanyi berusia 56 tahun itu berterima kasih atas kejujuran peminatnya yang mahu bertemu dan mencipta momen indah bersamanya.

“Saya terharu dan bersyukur atas penghargaan yang ditunjukkan oleh peminat dan penggemar saya. Terima kasih atas kejujuran anda ingin bertemu dan mencipta kenangan indah bersama-sama.

Bagi penyanyi Datuk Amy Search pula melihat kebanjiran konsert saban minggu yang diadakan di pelbagai lokasi di Malaysia menjadi petanda bahawa industri hiburan, khususnya seni muzik masih mendapat soko­ngan dan sambutan daripada penonton tempatan sendiri.

“Artis luar negara juga melihat negara ini sebagai salah satu destinasi terbaik untuk menganjurkan sesebuah persembahan muzik.

“Sudah tentu penganjuran konsert berturut-turut ini menjadi bukti bahawa industri hiburan khususnya muzik masih mendapat sokongan daripada peminat tempatan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI