fbpx

Kem, kubur Wang Kelian: 4 warga Thailand dituduh esok – Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin.

PUTRAJAYA – Seramai empat warga Thailand akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis, esok, berhubung penemuan kem dan kubur di Wang Kelian pada Mei 2015.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keempat-empat mereka antara sepuluh individu hasil permintaan kerajaan Malaysia ketika mengemukakan ekstradisi kepada kerajaan Thailand pada 6 Januari 2017.

“Kes ekstradisi ini telah berjalan di pelbagai peringkat mahkamah di Thailand dan Mahkamah Rayuan Thailand pada 30 Mac lalu akhirnya telah mengeluarkan perintah penahanan ke atas keempat-empat individu tersebut untuk diserahkan kepada Malaysia.

“Berdasarkan perintah Mahkamah Rayuan Thailand ini, penyerahan keempat-empat individu tersebut telah dilaksanakan pada hari ini,” katanya menerusi kenyataan akhbar, di sini hari ini.

Jelasnya, kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Thailand dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan proses ekstradisi bagi kes Wang Kelian ini berjalan lancar.

“Kerajaan Malaysia juga berharap kerjasama ini dapat diteruskan bagi menjejaki individu-individu lain yang terlibat untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

“KDN sentiasa komited dalam menjaga keselamatan sempadan negara dan memandang serius isu-isu jenayah rentas sempadan khususnya jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran,” ujarnya.

Katanya,usaha berterusan melalui operasi bersepadu oleh agensi-agensi penguatkuasaan sentiasa dititikberatkan demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI