fbpx

RTG peledak semangat Speedy Tigers ke Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD hoki lelaki kebangsaan meraih rangsangan besar untuk memburu tempat ke Olimpik Paris 2024 selepas disenaraikan dalam program RTG.

KEMASUKAN skuad hoki lelaki negara dalam program Road To Gold (RTG) menimbulkan pelbagai reaksi dalam arena sukan tanah air kerana tujuan program itu adalah merealisasikan emas pertama menjelang Sukan ­Olimpik Paris 2024.

Ia berdasarkan hakikat Speedy Tigers sudah 23 tahun tidak beraksi di pentas Olimpik dengan kali terakhir membuat penampilan sewaktu edisi 2000 di Sydney, Australia yang ber­akhir pada kedudukan ke-11.

Keputusan tempat ke-13 dalam kempen Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India pada Januari lalu juga mewujudkan perdebatan hebat terhadap kemampuan skuad negara untuk menggenggam pingat emas ­Olimpik.

Bagaimanapun, kesempatan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bagi memastikan skuad negara ‘menutup mulut’ para pengkritik dengan menampilkan prestasi yang membanggakan.

Ketua jurulatih, A. Arul Selvaraj juga menganggap situasi itu sebagai rangsangan terbaik buat anak-anak buahnya dalam memburu pingat emas Sukan Asia Hangzhou, China pada September depan, sekali gus layak automatik ke Olimpik Paris 2024.

“Ia memberikan motivasi kepada kami untuk terus berjaya. Ia juga menjadi suntikan terbaik kami menuju ke (meraih pingat emas) Sukan Asia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

MHC dalam kenyataannya turut merakam ribuan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan semua Ahli Jawatankuasa RTG terma­suk pengerusi bersama yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

“Kepercayaan diberikan kepada pasukan hoki lelaki negara pastinya menjadi pembakar semangat untuk skuad negara menjelang Sukan Asia Hangzhou yang turut mempertaruhkan tiket ke Olimpik Paris 2024,” menurut kenyataan itu.

Kini, barisan pemain negara tidak boleh leka kerana tum­puan sudah mula terarah kepada mereka dan perlu membuktikan kualiti segera bermula dengan meraih keputusan positif ke atas Korea Selatan hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI