fbpx
GAMBAR HIASAN

Hidup ini keras, namun perlu usaha baiki diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KATA orang, hidup ini keras dan kita perlu berusaha dengan gigih dan sehabis baik untuk menikmati sebuah kehidupan yang diidamkan selama ini.

Bahagia itu sendiri sebenarnya subjektif, apa yang kita rasa tidak sama dengan apa yang dikecapi oleh orang lain. Mungkin bagi kita, jika mempunyai wang jutaan ringgit itu tanda bahagia.

Bagi insan lain pula berbeza, ada yang berasa cukup bahagia jika keperluan peribadi dan untuk keluarga dapat dipenuhi, mereka rasa cukup dan tidak perlu mengomel lagi.

Apa yang penting, jangan pernah cuba membanding-bandingkan apa yang orang lain peroleh dengan apa yang kita miliki. Ini kerana, nasib kita dengan orang lain tidak akan pernah sama.

Percayalah, kebahagian yang diharapkan pasti tertangguh selama mana kita selalu membandingkan nasib yang kita alami dengan orang lain.

Pernah tak terlintas di hati dan fikiran kita walau satu saat pun untuk tidak mengeluh dan mencari kelebihan yang ada pada orang lain berbanding kita.

Ia adalah satu perkara yang sukar dilakukan kerana sudah menjadi lumrah manusia sejak dahulu lagi yang tidak pernah puas dengan apa yang mereka kecapi, selain berasa iri hati dengan kejayaan yang dicapai insan lain.

Jika ini berterusan, percayalah, ia akan berakhir dengan perasaan sedih dan rasa tidak adil setelah melihat pencapaian orang lain, walaupun sebenarnya kita juga mempunyai kehidupan yang terbaik.

Tanpa kita sedar, perbandingan yang dibuat selama ini akan menjadikan kita tidak pernah bersyukur kepada Allah dan mempersoalkan kenapa kita tidak diberikan kelebihan macam jiran atau sahabat kita misalannya.

Ini bertepatan dengan kata pujangga bahawa kita sentiasa melihat rumput di halaman jiran lebih hijau daripada halaman rumah kita sendiri.

Mungkin juga ada dalam kalangan kita yang diberikan anugerah rupa paras yang cantik dan tampan oleh Allah, sering tertanya-tanya mengapa sukar mendapat jodoh, sedangkan rakan kita yang biasa-biasa sahaja telah lama mendirikan rumah tangga dan sudah beranak-pinak.

Jika inilah sifat yang masih ada dalam diri, kita tidak akan pernah berasa bahagia walau satu saat pun. Apa yang penting bersyukur dengan pemberian Allah dan berusaha mencari kekurangan yang ada pada diri.

Sesungguhnya selama ini kita tersilap langkah dengan membanding kehidupan yang kita lalui dengan perkara yang salah.

Kita selalunya membandingkan keadaan kita yang terburuk dengan situasi rakan atau jiran yang terbaik.

Kadangkala Allah memberikan apa yang kita perlukan dan tidak apa yang dihajati kerana sesungguhnya Dia lebih memahami dan mengetahui apa yang terbaik buat diri kita.

Justeru, kita perlu terus memberi fokus kepada perjalanan hidup kita sendiri kerana membandingkan hidup kita dengan hidup orang lain adalah satu kebodohan.

Hidup bukan pertandingan, tetapi sebuah perjalanan yang panjang. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN