fbpx

Wanita maut dihempap bumbung sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN bumbung SMJK Seg Hwa diterbangkan angin sebelum menghempap sebuah rumah sehingga meragut nyawa seorang wanita dalam kejadian di Kampung Tahang Rimau, Segamat, malam semalam.

SEGAMAT – Seorang wanita menemui ajal apabila dihempap bumbung sebuah sekolah dalam kejadian ribut di Kampung Tahang Rimau di sini malam semalam.

Dalam kejadian pada pukul 7.41 malam itu, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai V. Mahadevi, 55.

Difahamkan, insiden malang itu berlaku ketika kejadian ribut sebelum bumbung Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Seg Hwa diterbangkan angin dan menimpa kediaman mangsa yang terletak berhampiran institusi pendidikan terbabit.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan II, Ab Rahim Rahmat berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan lima anggota bersama dua jentera sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar berlaku bumbung sekolah runtuh berkeluasan 5400 kaki persegi diterbangkan oleh angin dan menghempap sebuah rumah bersebelahan sekolah.

“Terdapat seorang mangsa perempun dewasa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan PKO. Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ab Rahim berkata, mangsa kemudiannya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, kes diklasifikasikan mati mengejut.

Dalam pada itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Segamat ketika dihubungi berkata, ribut petang semalam turut menjejaskan struktur bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat.

Katanya, kawasan paling teruk terjejas adalah di Mukim Sungai Segamat, membabitkan 20 keluarga dari Kampung Tahang Rimau, Kampung Jawa dan Kampung Tengah.

Menurutnya, kira-kira 15 kediaman terjejas di Mukim Gemereh dan Mukim Pogoh dan beberapa gerai peniaga juga dipukul ribut.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI