fbpx

Rizal Ghazali didakwa pukul, rosakkan telefon bimbit teman wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Rizal (kiri baju biru) bersama peguamnya ketika hadir di Mahkamah Majistret hari ini.

PETALING JAYA – Pemain Sabah FC Mohd. Rizal Mohd. Ghazali didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memukul dan merosakkan telefon bimbit teman wanitanya di sebuah hotel dua minggu lalu.

Bagaimanapun Mohd. Rizal, 31, atau nama popularnya Rizal Ghazali mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga pemain pertahanan bagi kelab itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Hani Farhana Hasrul Sani, 37,.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sebuah bilik hotel di sini pukul 6 pagi pada 7 Jun lalu yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan kedua, Mohd. Rizal didakwa melakukan khianat dengan merosakkan telefon bimbit milik wanita sama sehingga menyebabkan kerugian RM4,500 pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan kedua itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang menperuntukkan hukuman maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding Timbalan Pendakwa Raya Siti Mariam Md Kamal menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang menganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan.

Bagaimanapun peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili Mohd. Rizal memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya yang merupakan pemain bola sepak itu menanggung ibu dan bapanya selain memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan Mohd. Rizal diikat jamin RM3,500 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan syarat-syarat seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Tarikh 24 Ogos ini ditetapkan sebutan semul kes.

Pada 8 Jun lalu, Kosmo! melaporkan seorang pemain bola sepak Liga Super ditahan polis selepas dipercayai menyebabkan kecederaan terhadap teman wanitanya, akibat perselisihan faham di dalam sebuah bilik hotel di daerah ini.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI