TINDAKAN segelintir pelajar yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang kemahiran mungkin satu perkembangan baharu dalam industri pendidikan negara.
Lazimnya, lepasan SPM yang cemerlang akan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang seperti kejuruteraan, perubatan, perakaunan dan sebagainya.
Senario itu, namun mula berubah apabila kini ada dalam kalangan mereka memilih bidang kemahiran sebagai pilihan untuk melanjutkan pengajian.
Alasannya, mudah mendapat kerja atau mendapat peluang lebih baik untuk mengembangkan kerjaya dalam bidang yang diceburi. Bagi mereka, kursus-kursus konvensional di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) sudah tidak dapat menjamin peluang pekerjaan kerana terpaksa bersaing dengan ramai lagi graduan di luar sana.
Isu-isu seperti graduan yang kini susah mendapat pekerjaan termasuk isu hangat ramai doktor kontrak yang masih tidak dapat diserapkan ke jawatan tetap mungkin turut mempengaruhi keputusan lepasan SPM yang cemerlang ini untuk memilih bidang kemahiran atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional(TVET.
Jika kemahiran menjadi pilihan mereka, keputusan untuk menentukan hala tuju atau destinasi melanjutkan pengajian dalam bidang itu seharusnya dibuat dengan pengetahuan serta minat yang mendalam supaya kelak tidak tersilap langkah.
Antara faktor yang mendorong pelajar untuk memilih bidang kemahiran atau TVET ialah kerana ia dapat meningkatkan kemahiran serta melatih diri untuk berdikari dalam melakukan sesuatu perkara.
Malah, melalui eksperimen yang dilakukan, mereka dapat melihat keupayaan sesuatu produk atau kemahiran dengan lebih dekat.
Bidang-bidang kemahiran seperti keusahawanan, fesyen, kulinari, pertanian, automotif, elektronik dan lojistik misalnya, sudah tentu mempunyai potensi besar dan pelajar-pelajar ini boleh berkembang dengannya.
Paling penting, ia menjanjikan peluang yang lebih baik bukan sahaja dalam pekerjaan, malah dengan kemahiran yang dimiliki, ia juga membolehkan mereka untuk membuka perniagaan sendiri pada masa depan jika kena caranya.
Walaupun pada asasnya, kursus-kursus TVET ini sebenarnya diwujudkan untuk memberi ruang kepada mereka yang tidak memiliki kelayakan akdemik yang mencukupi untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, namun situasi pada masa depan mungkin akan berubah kerana potensi lebih baik dalam bidang tersebut akan turut menarik mereka yang cemerlang dalam akademik.
Untuk itu, institusi-institusi yang menyediakan kursus-kursus TVET atau kemahiran ini harus memastikan silibus mereka sentiasa terkehadapan dan sesuai dengan situasi semasa.
Ia bagi membolehkan graduan-graduan yang dilahirkan benar-benar memiliki kepakaran dalam bidang yang diceburi, sekali gus menjadi salah satu nadi penggerak dalam menjana ekonomi negara.














