fbpx

Doktor rugi RM100,000 diperdaya ‘phone scam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang doktor berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM100,000 lesap selepas dia diperdaya sindiket ‘phone scam’.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, kejadian di Temerloh itu berlaku selepas mangsa yang merupakan seorang wanita berumur 28 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek pada 16 Jun lalu.

“Suspek yang menyamar sebagai Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyatakan mangsa ada terlibat dengan pengubahan wang haram sebelum panggilan mangsa disambungkan kepada pegawai polis yang mengesahkan mangsa mempunyai rekod ‘wanted person’ dan perlu disenarai hitamkan.

“Mangsa yang agak panik kemudiannya menuruti arahan suspek dengan membuka akaun bank baharu dan memberikan nombor kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta nombor pin kepada suspek,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diminta memindahkan wang sebanyak RM100,000 ke akaun baharu bagi tujuan pembayaran pelepasan daripada ‘wanted list polis’.

Tambahnya, bagi mangsa juga telah diminta mengambil gambar secara ‘selfie’ dan menghantar kepada suspek setiap dua jam.

Dalam pada itu beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan giat dilakukan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati sumber kewangan mangsa adalah daripada hasil wang simpanannya.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak memberikan butiran peribadi seperti nombor akaun dan sebagainya untuk tujuan siasatan secara sewenang-wenangnya.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat semakan atas nombor telefon dan akaun bank mencurigakan melalui ‘Check Scammers CCID’ atau melalui laman sesawang https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi dalam talian,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI