fbpx

RTG bermesyuarat bincang isu keperluan Azizulhasni, atlet negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hannah (tiga dari kiri) menyampaikan Anugerah Naib Johan Perdana Belia Negara kepada pemenang kategori individu wanita pada Majlis Perasmian HBN 2023 peringkat negeri Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu hari ini. FOTO ROSMIZAN RESDI

KOTA BHARU – Jawatankuasa Road To Gold (RTG) akan mengadakan mesyuarat Isnin ini bagi mengkaji segala permintaan dan keperluan atlet negara susulan luahan kekecewaan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, mesyuarat itu akan turut mengumpulkan semua permintaan dan keperluan atlet lain serta mengambil kira semua aspek demi memastikan atlet dalam Program RTG membuat persediaan terbaik menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

“Permintaan dan keperluan yang diluahkan Mohd. Azizulhasni bersama atlet yang lain telah dikumpulkan untuk RTG mengadakan mesyuarat Isnin ini.

“Kita akan mempertimbangkan setiap permintaaan itu memandangkan Azizulhasni merupakan aset negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Hari Belia Negara (HBN) 2023 peringkat negeri Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Mohd. Azizulhasni meluahkan kekecewaan susulan MSN didakwa gagal menyediakan sistem sokongan lengkap, selepas memindahkan pangkalan latihannya dari Melbourne, Australia ke Velodrom Nasional di Nilai awal tahun ini.

Mohd. Azizulhasni dikenali dengan jolokan The Pocket Rocketman berkata, beberapa siri perbincangan diadakan dengan MSN setahun sebelum beliau pulang ke tanah air, tetapi hingga kini tiada penyelesaian dicapai sedangkan Sukan Olimpik Paris akan berlangsung dalam tempoh setahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI