fbpx

K2

Persoalan mengenai nazar korban kambing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Individu bernazar melakukan korban ke atas haiwan tertentu, wajib menunaikannya. _ GAMBAR HIASAN

Saya telah menunjuk gambar kambing yang ingin dikorbankan pada hari raya haji dan berkata: “Inilah kambing yang akan saya korbankan”. Adakah hukum korban ke atas saya menjadi wajib?

Jawapan:
Ibadah korban merupakan sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) di sisi mazhab Al-Syafie sebagai tanda menjaga syiar Islam bagi mereka yang mampu. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab, jil. 8, hlm. 271).

Namun, ibadah korban akan dihukumkan sebagai wajib dalam dua keadaan:

Korban Ta’yin (Penentuan): Contoh sekiranya seseorang mengatakan bahawa “Ini ialah korbanku”; yang merupakan seekor unta atau kambing miliknya, atau, “aku akan berkorban dengan kambing ini”.
Maka, hukum berkorban adalah wajib ke atasnya seperti mana dia bernazar.

Korban Nazar: Jika seseorang Muslim bernazar untuk melakukan korban, maka hukum korban tersebut menjadi wajib ke atasnya. Hal ini demikian kerana dia telah mewajibkan dirinya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, seperti mana kewajipannya dalam melakukan ibadat dan ketaatan yang lain. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, jil. 2, hlm. 478).

Imam al-Nawawi juga menyebut di dalam kitabnya, Al-Ruyani berkata: Apabila seseorang itu berkata, “Jika aku membeli seekor kambing, demi Allah aku wajib untuk menjadikannya sebagai korban”, maka ia menjadi nazar yang menjadi tanggungannya.

Oleh itu, apabila dia membeli seekor kambing, maka dia wajib menjadikannya sebagai binatang korban, dan ia tidaklah menjadi korban hanya dengan sekadar membelinya sahaja.

Namun, sekiranya dia menentukannya dengan berkata, “Jika aku membeli kambing ini, demi Allah aku wajib untuk menjadikannya sebagai korban”, maka dalam hal ini terdapat dua pendapat. Pertama, tidak wajib menjadikannya binatang korban kerana ia cenderung kepada hukum ta’yin. Dia telah mewajibkan perbuatan korban terhadap dirinya sebelum pemilikan sedangkan mewajibkan sebelum memiliki sesuatu ialah tindakan sia-sia.

Manakala yang kedua, wajib menjadikannya sebagai korban kerana ia menjadi nazarnya. Pendapat pertama adalah lebih tepat. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab, jil. 8, hlm. 272).

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa lafaz, “inilah kambing yang akan saya korbankan” ini merupakan salah satu contoh lafaz ta’yin atau nazar yang mewajibkan seseorang yang melafazkan menunaikan nazarnya tersebut.”

Bagaimanapun, lafaz nazar yang diucapkan itu akan dihukumkan sah atau tidak berdasarkan situasi tertentu.

Sekiranya seseorang itu telah memiliki atau membeli seekor kambing atau binatang lain yang sah untuk dijadikan korban dan dia bernazar untuk melakukan korban ke atas binatang tersebut, maka nazar tersebut adalah sah dan diwajibkan ke atasnya untuk melakukan korban.

Begitu juga sekiranya dia bernazar bahawa sekiranya dia memiliki atau membeli seekor kambing atau binatang lain yang sah untuk dijadikan korban, maka nazarnya sah dan juga diwajibkan ke atasnya untuk melakukan korban setelah dia memiliki binatang tersebut.

Namun begitu, ia berbeza apabila seseorang itu bernazar untuk melakukan korban ke atas binatang yang telah ditentukannya (ta’yin) yang bukan dan belum menjadi miliknya.
Misalnya, “Jika aku memiliki kambing itu, maka akan aku jadikannya korban”.

Dalam situasi ini, nazar untuk berkorban ke atas kambing yang telah ditentukannya itu merupakan tidak sah dan tidak diwajibkan ke atasnya untuk melakukan korban kerana ketika dia bernazar, kambing yang ditentukannya tersebut bukanlah miliknya.

Justeru, lafaz, “inilah kambing yang akan saya korbankan” yang dikatakan sambil menunjuk gambar kambing tersebut, tidak menjadikan hukum korban wajib ke atas seseorang itu.

Hal ini demikian kerana, ketika dia menyebutkan lafaz tersebut, dia belum memiliki kambing yang ditunjuk tersebut.

Oleh itu, tidak sah nazarnya untuk berkorban dengan kambing yang ditentukannya melalui gambar itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI