fbpx

Polis Johor terima dua laporan polis terhadap Jocelyn Chia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar persembahan komedi berdiri Jocelyn Chia yang mendapat kecaman pengguna media sosial.

JOHOR BAHRU – Polis Johor mengesahkan menerima dua laporan polis melibatkan pelawak kelahiran Singapura, Jocelyn Chia yang menghina dan memperlekeh Malaysia pada satu rancangan komedi yang tular di media sosial, minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya komited akan menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak memainkan isu ini yang boleh menganggu gugat ketenteraman awam.

“Sehingga kini kita terima dua laporan polis berhubung isu pelawak itu yang menghina dan memperlekeh negara. Permohonan Interpol telah dibuat semalam untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan suspek bagi membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504/505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kamarul Zaman turut memberitahu, Polis Kontinjen Johor mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam berkaitan kejadian.

“Mereka boleh menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selaran ditalian 07-2182323 atau pegawai penyiasat ditalian 019-4346858,” ujarnya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan, PDRM akan membuat permohonan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mendapatkan identiti dan lokasi terkini Jocelyn Chia bagi membantu siasatan berhubung klip videonya yang tular di media sosial.

Baru-baru ini, Jocelyn didakwa telah menghina Malaysia dalam satu persembahan komedi bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ di New York, Amerika Syarikat.

Persembahan itu telah mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk Malaysia dan Singapura.

Menerusi klip video yang dimuat naik pada akaun TikTok, Jocelyn turut secara sengaja menghina seorang penonton yang mengaku sebagai rakyat Malaysia dengan perkataan kesat.

Dia turut menggunakan tragedi MH370 sebagai satu bahan lawaknya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI