fbpx

25,000 pengunjung dijangka hadir Melaka Agrofest 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMAD AKMAL (duduk, tiga dari kanan) ketika sidang akhbar Melaka Agrofest 2023 di Wisma Negeri, Ayer Keroh, Melaka. Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!

MELAKA – Seramai 25,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan program Melaka Agrofest 2023 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 23 Jun di Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Melaka Agrofest adalah penjenamaan semula Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Melaka.

Katanya, program itu dibuka kepada orang ramai secara percuma dengan sasaran kutipan jualan sebanyak RM1 juta.

“Pelbagai acara menarik menanti pengunjung seperti makan durian, teka berat lembu sado dan jualan karavan tani.

“Pengunjung turut berpeluang membeli barangan keperluan asas seperti ayam pada harga RM10 seekor, manakala ikan, telur, tepung dan minyak paket juga lebih murah berbanding pasaran,” katanya pada sidang akhbar Melaka Agrofest 2023 di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Panglima 10 Briged Para Tentera Darat, Kolonel Khairul Anwar Soib.

Tambahnya, lima institusi pengajian tinggi di Melaka turut menyertai karnival pendidikan di program tersebut untuk memberi maklumat mengenai tawaran kursus pengajian kepada golongan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam pada itu, Khairul Anwar memaklumkan, pertandingan akhir kugiran Battle of The Bands Tentera Darat akan diadakan serentak dengan penganjuran Melaka Agrofest.

Katanya, tentera darat juga akan mengadakan promosi serta pameran aset-aset ketenteraan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI