ATAS tuntutan kerjaya sebagai pelakon, aktres berbangsa Cina, Daniella Sya kian memahami hukum-hakam Islam, termasuk perihal poligami yang selalu menjadi polemik dalam kalangan orang Melayu di negara ini.
Pemilik nama sebenar Daniella Sya Yeng Yeng itu bagaimanapun sedar, isu berkenaan agak sensitif untuk dibicarakan secara umum, apatah lagi dia bukanlah penganut Islam.
Kendatipun, pengalaman sering membawakan karakter wanita bertudung semakin membuka matanya terhadap konsep suami beristeri lebih daripada seorang.
Masih cetek, belajar agama
“Sebelum saya terima watak Janet, pandangan saya terhadap poligami tidaklah terlalu meluas.
“Selepas buat drama ini, saya belajar ada indahnya berpoligami, namun mestilah bersandarkan kefahaman al-Quran.

“Sejujurnya, sebagai orang bukan Islam, susah untuk faham poligami.
“Melihat jalan cerita naskhah itu, ada yang menggunakan agama untuk perkara yang tidak patut.
“Sebagai wanita, perkara itu membuatkan saya sedikit beremosi,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.
Ujar pelakon berusia 35 tahun itu, adalah tidak adil untuk bercakap tentang sesuatu perkara jika pengetahuan masih berada pada tahap cetek.
“Jangan disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga. Bukan semua orang yang hidup berpoligami itu tidak berlaku adil.
“Apa-apa sahaja isu, jangan diletakkan kesalahan pada bahu agama. Saya senantiasa percaya perkara itu.
“Apa yang kita lihat sekarang menandakan banyak ilmu yang perlu dipenuhkan dalam dada.
“Saya percaya, poligami adalah sesuatu yang indah andai dipraktikkan sebetul-betulnya,” ujarnya.
Bergandingan dengan Remy Ishak dalam naskhah bersiri terbaharu Hijrah Jannah, Daniella mengakui sangat seronok membawakan watak seorang wanita bertudung.
Bukan ‘menjual’ agama, namun dia percaya, lama-kelamaan, satu nilai positif yang akan terlahir daripada apa dikerjakannya sebagai seorang aktres.
“Saya suka kerja saya sekarang. Ada orang cakap saya hipokrit sebab realitinya saya seksi, tapi apa yang boleh saya cakap, saya masih dalam proses memperbaiki diri.
“Doa yang baik-baik tidak salah,” kata Daniella yang merupakan anak kelahiran, Sungai Petani, Kedah itu.
Lelaki Melayu
Diajak berbicara tentang kehidupan peribadi atau lebih terperinci sama ada dirinya sedang menjalin hubungan cinta dengan mana-mana lelaki, Daniella terbuka berkongsi sedang mengenali hati budi seorang lelaki Melayu.
Menariknya, dia tidak menolak memeluk dan seterusnya mempelajari agama Islam secara lebih mendalam sekiranya itu yang sudah tertulis buat dirinya suatu hari nanti.

“Lelaki yang sedang saya kenali sekarang orang Malaysia dan berbangsa Melayu.
“Bukan datang daripada golongan artis. Usia dia dalam lingkungan 30-an.
“Setakat ini, saya paling kerap didedahkan dengan agama Islam, juga agama yang saya explore (dalami) adalah Islam,” kata Daniella usai majlis tayangan perdana drama terbitan Astro, Hijrah Jannah di Dadi Cinema, Pavilion, baru-baru ini.
Dedah Daniella juga, sedari kecil, dia tidak menganut sebarang agama, dengan bahasa paling mudah, dia seorang free-thinker.
Bebas sedari kecil
“Sejak kecil, saya dilahirkan sebagai seorang free-thinker. Saya masih belajar dan mencari,” katanya.

Menariknya, Daniella sangat selesa mengenakan tudung walaupun apa yang dipaparkan tuntutan karakter semata-mata.
Dalam masa sama, Daniella tidak mahu kepercayaannya tentang sesuatu agama digesa mana-mana pihak kerana percaya, bahawa hidayah itu milik Tuhan.
Menurut Daniella, hanya Dia yang mengetahui apa, bila, mengapa dan bagaimana jiwa seseorang insan dijentik untuk menjadi orang yang lebih berpendirian dalam urusan akidah atau agama.
“Saya rasa selesa sangat berhijab sebab tak payah fikir pasal rambut. Tak payah sangat fikir tentang anything to do with styling (menggayakan sesuatu pakaian).
“Semasa berhijab saya rasa sangat selamat. Rasa tenang sangat,” ujarnya.
Selain Daniella dan Remy, Hijrah Jannah yang merupakan drama rantaian arahan sutradara Feroz Kader yang turut dibintangi pelakon Puteri Sarah Liyana.














