KANGAR – Logo Tahun Melawat Perlis (TMP) 2024-2025 yang mendapat kritikan orang ramai setelah diumumkan di laman sosial baru-baru ini dipertahankan Menteri Besar negeri itu.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, berdasarkan pemerhatiannya, hantaran di Facebook berhubung pemilihan logo tersebut hanya dibantah oleh tiga ke empat individu sahaja.
“Tiada sebarang isu yang timbul berikutan daripada pemilihan logo berkenaan yang didedahkan sejak Jumaat lalu.
“Saya tengok dalam (laman sosial) baru 19 orang (yang respons), yang tak suka baru tiga ke empat orang, jadi tak timbul isu,” katanya di sini hari ini.
Logo TMP yang dipamerkan menerusi Facebook Tourism of Perlis Official mendapat kritikan ramai pihak termasuk Timbalan Pengerusi PKR negeri, Noor Amin Ahmad.
Menurut Noor Amin, kerajaan negeri pastinya mempunyai rekaan yang lebih menarik dan bermakna dalam pemilihan logo berkenaan bersesuaian dengan sektor pelancongan negeri.
Tambahnya, reka bentuk logo yang dipilih itu juga kelihatan agak cincai berbanding beberapa logo lain yang menyertai pertandingan itu. – KOSMO! ONLINE