PETALING JAYA – Memiliki saiz kompak dengan harga dan kos penyelenggaraan yang rendah menjadi antara faktor utama Perodua Axia terpakai ‘diburu’.
Bukan sahaja digemari oleh mereka yang berpendapatan sederhana malah golongan T20 juga tidak melepaskan peluang untuk memiliki model ini.
Seorang pekerja swasta, Shahrul Nizam, 30, berkata, dia masih menggunakan kereta kompak ini sejak tahun 2017 walaupun gajinya kini telah mencecah lima angka.
“Siapa kata gaji besar kena tukar kereta besar? Saya selesa guna Axia sebab bukan sahaja jimat minyak, kos selanggara juga sangat rendah.
“Lagi pun saya kerja di tengah bandar raya terpaksa hadap kesesakan hampir setiap hari jadi sebab itu saya lebih selesa pandu kereta ni, nak parkir pun senang.
“Saya pun masih bujang, dengan ekonomi yang mencabar ni lebih baik saya simpan wang gaji sebab kita tak tahu apa yang akan berlaku di masa akan datang.
“Saya langsung tak tercabar tengok kawan-kawan pakai kereta mahal, itu hak masing-masing,” katanya.
Mohd. Ariffin, 45, pemilik di sebuah syarikat seni bina kini menjadikan Perodua Axia sebagai kereta kedua.
“Saya baru beli yang terpakai tiga bulan lepas bagi isteri guna. Dia pun suka sebab senang nak hantar dan ambil anak-anak sekolah atau ke pasar.
“Pilihan kami antara Axia dan Myvi tetapi isteri saya minta Axia. Kadang-kadang kami empat beranak pun keluar berjalan guna Axia,” kongsinya.
Baharu sahaja mula bekerja sebagai pegawai di sebuah syarikat swasta di Klang, Hanim Salleh, 25, berkata, Perodua Axia menjadi pilihan selepas disarankan abangnya.
“Abang ada bantu saya carikan kereta dan dia kata ini yang terbaik dengan gaji saya sekarang.
“Ikutkan saya nak pakai kereta yang lebih mahal, tapi betul juga kata abang dengan ekonomi dan kos sara hidup tinggi sekarang lebih baik saya lebihkan simpanan berbanding beli kereta mahal,” ujarnya.














