fbpx

LHDN akan keluar garis panduan e-invois Julai depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peserta yang menyertai sesi libat urus berkenaan pelaksanaan e-invois Zon Utara di Batu Ferringhi hari ini.

GEORGE TOWN – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mengeluarkan garis panduan pada Julai depan kepada syarikat yang mempunyai kadar pusing ganti tahunan melebihi RM100 juta berhubung pelaksanaan sistem e-invois.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohd. Nizom Sairi berkata, garis panduan itu dikeluarkan bagi membolehkan kira-kira 4,000 syarikat yang mempunyai kadar pusing ganti tahunan melebihi RM100 juta memahami inisiatif baharu tersebut.

”Garis panduan ini akan dikeluarkan pada Julai depan, ia adalah untuk pihak industri melihat apakah yang perlu mereka lakukan (berhubung pelaksanaan sistem e-invois).

”Jika mereka (pihak industri) ada keperluan tambahan, mereka boleh memberi maklum balas kepada pihak kami, jadi ini adalah proses libat urus yang berterusan sehingga sistem ini dilancarkan nanti,” katanya selepas sesi libat urus berkenaan pelaksanaan e-invois Zon Utara, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, LHDN bercadang memperkenalkan inisiatif baharu dikenali e-invois bagi memudahkan pembayar cukai menyimpan dan mengawasi rekod kewangan masing-masing.

Penggunaan e-invois yang bermula Jun 2024 akan mempersiapkan negara terhadap sistem percukaian baharu dan pelaksanaannya itu akan memperkemas dan mengukuhkan sistem cukai negara serta penilaian risiko pematuhan yang lebih tepat.

Menurut Mohd. Nizom, pada masa ini LHDN sedang melaksanakan sesi libat urus bersama pihak industri dan ia akan dijalankan di seluruh negara bagi memastikan apa yang dibangunkan nanti bersesuaian dengan keperluan daripada pihak industri.

“Kita laksanakan banyak libat urus untuk mendapatkan maklumat, agar ia tidak menjadi sesuatu yang terlalu mahal untuk pihak industri berada dalam sistem ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI