fbpx

K2

Persoalan ibadah korban oleh persatuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Boleh diniatkan kongsi pahala daripada sembelihan korban tujuh bahagian dalam seekor lembu. – Gambar hiasan

Saya adalah setiausaha sebuah persatuan kebajikan Islam taman. Setiap tahun mengurus aktiviti korban ahli persatuan dan keuntungan wang saya masukkan ke dalam pendapatan persatuan.

Pada tahun ini, saya dan ahli persatuan bercadang membeli seekor lembu korban untuk semua ahli keluarga kami.

Nabi Muhammad SAW pernah mengorban seekor kibas dan niat korban untuk diri dan umatnya.

Tolong bagi panduan macam mana saya mahu mengadakan korban untuk diniatkan kepada ahli dan keluarga persatuan. Kosnya dibuat secara kutipan ikhlas dan wang persatuan.

JAWAPAN: Allah SWT berfirman: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” (Surah Al-Kawthar: 2)

Umat Islam dituntut untuk melaksanakan ibadah korban setiap tahun apabila menjelang 10 Zulhijah sehinggalah hari tasyrik ketiga.

Umat Islam yang mempunyai kemampuan seharusnya tidak melepaskan peluang untuk melaksanakan ibadah korban.

Hal ini demikian kerana Nabi SAW telah bersabda: Barang siapa yang bagi keluasan (kemampuan) dan dia tidak melaksanakan korban, maka janganlah ia menghampiri tempat solat kami.”

Ahli ilmu membincangkan isu pembahagian haiwan korban, berdasarkan hadis daripada Jabir RA:

“Kami keluar bersama Rasulullah SAW dalam keadaan berihram haji lalu Baginda menyuruh kami bersekutu dalam menyembelih korban unta dan lembu, tujuh bahagian korban dibahagi tujuh orang.”

Maka, ulama merumuskan bahawa seekor unta, lembu atau kerbau boleh dikongsikan tujuh orang bagi setiap ekor, berbeza dengan kambing atau kibas yang hanya seorang untuk seekor. (Rujuk Matla’ Al-Badrain, jld. 1, hlm. 198).

Imam Muhammad al-Syarbini al-Khatib ada menyebut: “Hukumnya (korban) ialah sunat muakkad yang dianggap benar di sisi kami (Syafieyyah) secara sunat kifayah, (yakni) jika ramai ahli dalam sebuah rumah itu, maka jika dilaksanakan korban seseorang daripada mereka, maka memadailah (pahala korban) daripada sekalian lainnya. Jika hanya seorang sahaja, maka jadilah sunat ain”. (Rujuk Al-Iqna’, jld. 2, hlm. 588)

Asalnya, pada seekor unta, lembu atau kerbau boleh dibahagikan kepada tujuh orang dan diniatkan di atas tujuh penama dan boleh diniatkan kongsi pahala bersama ahli keluarga mereka dan orang lain.

Sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis Aisyah RAh bahawa Rasulullah SAW berkorban dua ekor kibas dan bersabda: “Dengan nama Allah. Ya Allah! Terimalah (korban ini) daripada Muhammad, keluarga Muhammad dan daripada umat Muhammad.” (Sahih Muslim: 1967)

Berkata Imam al-Nawawi dalam syarahnya: “Ulama berpandukan hadis ini bagi membenarkan ibadah korban seseorang itu bagi dirinya dan keluarganya, dan pahala itu dikongsi oleh dirinya dan ahli rumahnya. Inilah pandangan mazhab kami (Syafieyyah) dan jumhur, sedangkan dianggap makruh oleh al-Thauri, Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya.” (Rujuk Syarah Sahih Muslim, jld. 7, hlm. 136)

Berkata Imam al-Khatib al-Syarbini: “Jika seseorang itu berkorban dengan menyembelihnya (kambing) dari dirinya dan dari keluarganya, atau dari dirinya dan orang lain bersekutu pada pahalanya, maka dibenarkan.” (Rujuk Al-Iqna’: jld. 2, hlm. 589)

Kesimpulannya, boleh diniatkan kongsi pahala daripada sembelihan korban tujuh bahagian dalam seekor lembu tersebut dan setiap bahagian tersebut mempunyai penama tertentu.

Oleh itu, kami mencadangkan supaya tujuh bahagian daripada seekor lembu tersebut dinamakan dengan tujuh orang penama daripada ahli persatuan (dengan persetujuan mereka) dan diniatkan agar pahala korban dikongsi kepada ahli keluarga dan semua ahli persatuan.

Atau dengan cara menawarkan harga bagi setiap bahagian daripada tujuh bahagian itu dengan nilai tertentu kepada ahli yang berminat (dengan harga murah sebagai syarat menyertai korban) dan pihak persatuan menampung sejumlah daripada harga keseluruhan binatang korban tersebut.

Manakala pahala daripada ibadah korban tersebut diniatkan (oleh peserta yang menyertai korban) untuk semua ahli.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI