MANCHESTER – Pemain tengah Manchester United, Casemiro dilapor menolak kontrak mewah dari kelab Liga Arab Saudi selepas sah meninggalkan Old Trafford selepas kontraknya berakhir hujung musim ini.
Pemain antarabangsa Brazil itu dikatakan lebih berminat untuk meneruskan kariernya di Liga Bola Sepak Major (MLS) Amerika Syarikat dengan menyertai kelab milik legenda United, David Beckham, iaitu Inter Miami.
Sehingga kini, Casemiro masih belum mendedahkan destinasi sebenar kariernya selepas ini, namun Al-Hilal dan Al-Nassr telah menawarkan kontrak yang cukup lumayan, tetapi belum cukup untuk memujuk pemain itu.
Faktor keluarga dikatakan menjadi punca pemain berusia 34 tahun itu memilih berkelana ke Amerika Syarikat berbanding Arab Saudi menyebabkan Inter Miami mungkin menjadi kelab baharunya ekoran hubungan baiknya bersama Beckham.
Pihak pengurusan Inter Miami sudah mengadakan perbincangan awal mengenai kontrak lumayan yang bakal dikemukakan kepada Casemiro dengan cadangan untuk mengikat kontraknya sehingga 2028 dan pilihan lanjutan 12 bulan lagi.
Selain pengaruh Beckham, kelab yang berpangkalan di Florida itu juga menggunakan beberapa pemain bintang mereka seperti Lionel Messi sebagai daya penarik untuk mendapatkan tandatangan Casemiro.
Biarpun dianggap sudah berusia, Casemiro berjaya membuktikan dia adalah tonggak penting memulihkan prestasi United musim ini apabila mereka kini berada dalam kelompok tiga pasukan teratas dan hampir untuk mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara musim depan. – AGENSI














