fbpx
Tragedi gempa bumi pada Februari lalu tidak menggugat keyakinan rakyat Turkiye terhadap Erdogan.

K2

Erdogan ‘sultan’ moden Turkiye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“MASJID adalah berek kami, kubah adalah topi keledar kami, menara adalah bayonet kami dan mereka yang setia adalah tentera kami.”

Demikian bait puisi yang diucapkan oleh Recep Tayyip Erdogan pada awal penglibatannya sebagai ahli politik di Turkiye sekitar 1997.

Ucapan yang bertujuan meluahkan hasratnya untuk mengembalikan kege­milangan Islam di tanah empayar Uthmaniyyah itu membawa padah apabila dia dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan.

Penangkapan dilakukan kerana pada ketika itu, kerajaan sekular Turkiye melihat tindakan Erdogan sebagai satu ancaman. Ini kerana, negara itu memiliki sejarah yang menyaksikan rampasan kuasa dan pemansuhan sistem beraja Islam berlaku menerusi presiden pertamanya, Mustafa Kemal Ataturk.

Bagaimanapun, Erdogan yang turut kehilangan jawatannya sebagai Datuk Bandar Istanbul pada ketika itu dibebaskan setelah empat bulan dalam penjara.

Siapa sangka, detik hitam dalam perjalanan politiknya itu hanyalah satu permulaan buat lelaki yang berasal dari kelas pertengahan tersebut.

Pada tanggal 28 Mei 2023, Erdogan diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden 2023, sekali gus memulakan penggal ketiga sebagai Presiden Turkiye.

Lebih menarik, kemenangan tersebut berlaku sehari sebelum ulang tahun ke-570 penawanan Istanbul (ketika itu Constantinople) oleh Sultan Muhammad Al Fatih (Sultan Mehmet II) pada tahun 1453.

Untuk pengetahuan, Sultan Mehmet II merupakan idola dalam karier politik Erdogan yang terkenal dengan julukan ‘sultan’ moden Turkiye itu.

Turkiye mengadakan pilihan raya penentu pada 28 Mei lalu untuk pemilihan presiden selepas tiada calon memperoleh lebih 50 peratus undi yang diperlukan untuk kemenangan pada pusingan pertama pada 14 Mei.

Menurut keputusan rasmi, Erdogan memenangi dengan 52.18 peratus undian menewaskan pencabarnya, Kemal Kilic­daroglu yang mendapat 47.82 peratus.

Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) dan sekutunya turut memenangi majoriti kerusi parlimen.

Erdogan dan isterinya, Emine diraikan selepas majlis angkat sumpah sebagai presiden baru-baru ini.

Pemimpin berusia 69 tahun itu berjaya mengatasi kritikan terhadap krisis ekonomi terbesar Turkiye dan tragedi gempa bumi yang melanda negaranya pada awal tahun lalu.

Kemenangan ke atas pemimpin parti sekular, Parti Rakyat Republikan (CHP) itu menjadikan Erdogan sebagai pe­mim­pin Turkiye paling lama berkuasa.

Pakar Perhubungan Antarabangsa di Universiti Sains Sosial Ankara, Murat Yesiltas berkata, Erdogan bijak menggunakan strategi serampang dua mata.

Ujar Yesiltas, retorik Erdogan menumpukan pada isu keselamatan dalaman serta mengingatkan masyarakat tentang pencapaian yang dilakukannya setakat ini.

Sebaliknya, strategi komunikasi Kilicdaroglu gagal kerana tumpuan yang sempit untuk mengkritik pentadbiran Erdogan tanpa mencada­ngkan alternatif atau penyelesaian.

“Erdogan dengan cepat bertindak balas terhadap janji-janji Kilicdaroglu dengan meningkatkan gaji keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

“Beliau juga merancakkan lagi perbincangan tentang pelbagai pembaharuan yang secara tidak langsung mengingatkan orang ramai tentang pencapaian pentadbirannya selama ini,” ujarnya.

Sebagai rekod, antara kejayaan yang berjaya dicapai oleh Erdogan dalam misinya mengembalikan kegemilangan Islam di bumi Turkiye adalah dengan berkumandangnya laungan azan di bangunan Hagia Sophia pada 24 Julai 2020.

Pada detik bersejarah itu, ribuan umat Islam memenuhi segenap ruang pekarangan Hagia Sophia untuk mengerjakan solat Jumaat yang turut dihadiri Erdogan.

Bangunan bersejarah yang menjadi ikonik dan rebutan antara penganut umat Islam dan Kristian itu telah ditukar menjadi mu­zium sejak tahun 1935 di bawah kepimpinan Mustafa Kamal Attarturk.

Hagia Sofia telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1985.

Selain itu, Erdogan memansuhkan pengharaman bertudung di universiti secara berperingkat selepas 2010, manakala pengharaman bagi penjawat awam ditamatkan pada 2013.

Dalam pada itu, kemenangan Erdogan dijangka akan menjadi tamparan hebat kepada Barat yang tidak suka dengan hubungan erat Erdogan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin.

Walaupun kebanyakan negara lain te­lah menyekat Russia selepas pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine, namun Turkiye terus menjalankan hubungan perdagangan dengan Moscow.

Penulis buku Erdogan War: A Strongman’s Struggle at Home and in Syria, Gonul Tol berpendapat, hubungan tersebut akan berterusan.

“Hubungan Erdogan-Putin akan lebih kukuh. Erdogan akan menggunakan penyertaan Sweden dan Finland ke dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi memecah konsesi Barat.

“Penglibatan Turkiye dalam NATO sejak 1952 memberikan Erdogan lebih banyak pengaruh dalam hal ehwal antarabangsa,” ulasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN