fbpx

Lima sekeluarga sindiket pengedar pil kuda dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (dua, kanan) menunjukkan pil kuda yang dirampas di sebuah di Tawang, Bachok pada sidang akhbar di IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/ KOSMO!

KOTA BHARU – Lima sekeluarga termasuk dua remaja dicekup selepas dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah jenis pil kuda di sebuah rumah di Tawang, Bachok dekat sini pada Selasa minggu lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 7 malam itu, polis turut merampas sebanyak 952 biji pil kuda, sepucuk pistol jenis Steyr Mannlicher M004124 dan 11 butir peluru hidup.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun bersama dua anak saudaranya yang berusia 11 dan 13 tahun.

Menurutnya, dua lagi wanita warga Thailand yang berusia 54 dan 22 tahun yang merupakan saudara ketiga-tiga suspek itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kesemua suspek terdiri daripada tiga orang penganggur dan dua pelajar sekolah. Polis menemui sebanyak 952 biji pil kuda yang bernilai RM10,472 di dalam rumah terbabit.

“Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Steyr Mannlicher M004124 dan 11 butir peluru hidup,”katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, kelima-lima suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian saringan air kencing mendapati hanya seorang suspek lelaki sahaja positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, polis turut menyita sebuah kereta bernilai RM6,500 dan pelbagai barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM4,300 di bawah Seksyen 25 Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Tambahnya, tiga daripada suspek sudah ditahan reman pada 31 Mei hingga semalam sebelum perintah reman terhadap mereka disambung tujuh hari lagi sehingga 13 Jun ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1971,”katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI