PETALING JAYA – Rata-rata gadis mengakui mereka menggunakan platform media sosial sebagai pilihan terakhir untuk mencari pasangan hidup.
Kakitangan swasta, Qurratul Syuhada Ahmad Zabri, 28, berkata, dia menyertai sebuah akaun mencari jodoh di Twitter tahun ini dengan harapan menemui lelaki yang sesuai untuk dijadikan sebagai suami.
Menurutnya, besar harapan keluarganya untuk melihat dia menamatkan zaman bujang memandangkan dia merupakan anak perempuan tunggal.
“Zaman sekarang semua orang sibuk dengan karier dan hal peribadi masing-masing sampai tiada masa untuk bersosial dan berkenalan dengan orang lain,” katanya.
Sehubungan itu, anak kelahiran Pulau Pinang tersebut menganggap media sosial sebagai alternatif yang sesuai untuk mencari pasangan hidup.
Sebelum ini, Qurratul pernah mendaftar dengan sebuah aplikasi mencari jodoh, namun tidak berhasil.
“Saya belum jumpa dengan lelaki yang betul-betul serasi. Selain itu, aplikasi tersebut mengenakan bayaran sebagai yuran. Pengikutnya juga tidak terlalu terbuka berbanding proses mencari pasangan di Twitter.
“Ramai yang kata, mencari pasangan menerusi media sosial agak berisiko kerana kita berkongsi maklumat peribadi dengan orang ramai.
“Tetapi saya bersedia dengan segala kemungkinan. Yang penting saya sudah berusaha dan melakukan yang terbaik untuk masa depan. Kalau tak cuba kita tak tahu, takkan saya hendak solo sampai tua,” ujarnya.
Seorang lagi gadis dikenali sebagai Shuhada, 31, pula berkata, dia yang merupakan peniaga online turut memilih untuk mencari pasangan hidup menerusi media sosial.
“Saya hanya akan berkenalan dengan lelaki berstatus bujang, bukan kekasih, tunang atau suami orang.
“Saya berkongsi maklumat peribadi dan ciri-ciri lelaki pilihan di Twitter sebagai langkah terakhir memandangkan umur sudah cecah 30 tahun. Harapnya saya tidak berkeseorangan sampai bila-bila,” katanya yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD).














