GERIK – Pencemaran yang berlaku di Sungai Hangai di sini bukan hanya menjejaskan rutin harian penduduk Kampung Baharu Batu 2, malah turut memberi kesan buruk kepada golongan pekebun sayur dan pengusaha tapak semaian berhampiran.
Pengerusi Persatuan Anak Gerik Di Perantauan, Tajuddin M. Ali berkata, air sungai tersebut didakwa berwarna kehitaman selepas mengalir di kawasan kilang.
Justeru, mereka memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk memeriksa tahap pencemaran di Sungai Hangai yang didakwa tercemar akibat aktiviti perkilangan di kawasan berhampiran.
“Akibat daripada pencemaran itu, ada dalam kalangan pekebun tidak dapat mengusahakan tanaman mereka secara maksimum kerana terjejas pengeluaran masing-masing, begitu juga dengan pemilik tapak semaian.
“Ada dalam kalangan pengusaha tapak semaian turut kerugian ribuan ringgit kerana pokok berharga seperti bonsai tak dapat membesar akibat pencemaran itu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mengulas lanjut, Tajuddin berkata, air Sungai Hangai yang dipercayai tercemar sejak lima tahun lalu itu bersambung ke Sungai Kenderong sebelum ia bertemu dengan Sungai Perak.
“Kebanyakan pekebun sayur di sana berniaga secara kecil-kecilan, jadi pendapatan diperoleh masing-masing sekadar cukup untuk menampung kehidupan mereka dan keluarga.
“Air sungai itu bukan sahaja berwarna kehitaman, bahkan busuk sehingga meloyakan tekak,” katanya.
Katanya, masalah tersebut perlu diatasi segera kerana tahun hadapan merupakan Tahun Melawat Perak 2024 dan Hulu Perak merupakan antara destinasi pelancongan di negeri ini.