fbpx

Anime Jepun jadi inspirasi Yonnyboii

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GUCCIMITH dipilih Yonnyboii sendiri untuk menyanyikan lagu Flash & Dash kerana kedua-dua mereka sudah lama saling mengenali.

TIDAK pernah kering idea baharu, penyanyi rap berbakat besar Yonnyboii kini tampil dengan sebuah lagi karya hebat berjudul Flash & Dash.

Istimewanya, nukilan unik lagi tersendiri sentuhan bersama SonaOne dan Wolfy itu dinyanyikan bersama seorang bintang rap asal Sarawak, Guccimith untuk menghidupkan impak maksimum.

Ujar Yonnyboii atau nama lengkapnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, Flash & Dash merupakan sebuah lagu yang memberi kesegaran kepada pendengar yang tidak pernah dinyanyikan sebelum ini.

“Saya rasa lagu ini lebih segar dan menyeronokkan. Secara peribadi, saya belum pernah menyanyikan dan menghasilkan lagu seperti ini,” ujarnya.

Tambah penyanyi berusia 25 tahun itu, Flash & Dash sendiri memberi nilai sentimental buatnya sebagai penyanyi yang juga penggemar anime dari Jepun.

“Bagi yang tidak tahu, Flash & Dash boleh dianggap sebuah karya bersifat sentimental kerana tajuk lagu itu sendiri mengambil inspirasi daripada siri animasi terkenal dari Jepun, Flash & Dash yang mengisahkan dunia lumba kereta.

“Siri kartun itu memaparkan semangat setiap karakter untuk menjadi juara dan pemenang. Itulah motif utama yang saya mahu sampaikan dalam lagu ini.

“Kita tidak mungkin dapat mengejar waktu.

“Jadi berusahalah secepat mungkin untuk berjaya dan mencapai cita-cita,” jelas Yonnyboii.

IDEA untuk Yonnyboii berkolaborasi bersama penyanyi rap asal Sarawak, Guccimith tercetus secara tiba-tiba sewaktu penyanyi itu kebetulan berada di Kuala Lumpur.

Idea merakamkan Flash & Dash bersama Guccimith tercetus atas cadangan Yonnyboii sendiri apabila mahu berkolaborasi dengan penyanyi rap dari Bumi Kenyalang itu.

“Saya nampak keunikan dan keistimewaan lagu ini jika dinyanyikan secara berpasangan. Tiba-tiba, sebelum projek lagu ini siap, saya terfikir untuk menyanyikannya bersama rakan seindustri, Guccimith.

“Kebetulan pula semasa hendak merakamkan lagu ini, dia berada di Kuala Lumpur. Jadi saya memanggilnya datang ke rumah untuk proses rakaman lagu. Tidak sampai tiga jam, Flash & Dash siap dirakamkan,” katanya.

Untuk menghangatkan lagi aura Flash & Dash, sebuah muzik video bertemakan ‘drift’ turut ditampilkan dengan aksi lasak.

“Ini kali pertama saya membuat penggambaran muzik video menggunakan kereta ‘drift’. Memang sangat seronok dan mendebarkan.

YONNYBOII teruja apabila pertama kali menjalani penggambaran dengan menaiki kereta ‘drift’ yang dianggap amat menyeronokkan.

“Malah mereka yang terlibat juga memberikan kerjasama yang baik termasuk Guccimith sendiri.

“Saya harap pendengar akan menyukai lagu ini dan memahami pesanan yang cuba disampaikan.

“Bagi penggemar siri anime Flash & Dash, mereka pasti akan tahu maksud dan pengertian yang hendak saya sampaikan menerusi lagu ini,” ujar Yonnyboii.

Single Flash & Dash yang dilancarkan sejak 26 Mei lalu boleh didengari di semua platform, digital seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI