fbpx

MCMC pertimbang sekat Telegram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang giat mempertimbangkan beberapa bentuk tindakan termasuk mengenakan sekatan terhadap aplikasi Telegram.

Ketua Pegawai Kawal Selia MCMC, Zulkarnain Mohd Yasin, berkata, tindakan itu perlu dibuat dalam usaha memberi perlindungan kepada pengguna platform berkenaan.

Perkara itu juga susulan aktiviti jenayah siber di aplikasi tersebut yang mencatatkan lonjakan drastik apabila berada di kedudukan kelima teratas berbanding hanya di kelompok 11 antara 2019 hingga 2020.

“Telegram memiliki tahap keselamatan bagi aspek pengguna, iaitu kerahsiaan atau tidak dikenali, ‘end-to-end encryption’ (penyulitan menyeluruh) sangat tinggi serta membolehkan perkongsian data besar di ‘cloud’ (servis awan) yang menjadikan platform berkenaan popular.

“Keadaan ini menjadikannya sebagai platform pilihan bagi penjenayah siber untuk beralih daripada ‘dark web’ kepada laman Telegram,” katanya pada sesi temu bual ‘Aplikasi Telegram: Gugat Keselamatan Pengguna’ dalam rancangan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, Telegram turut memiliki ciri unik di mana pengguna boleh menjana ‘bot’ atau robot dikenali sebagai ‘Telegram bot’ yang mampu melancarkan serangan siber secara automatik.

“Bot terbabit mampu menggodam semua maklumat berkaitan log masuk, bukti kelayakan, kata laluan, kata laluan keselamatan, jika ia bersifat perisian hasad (perisian direka untuk membahayakan komputer).

“Apabila bot masuk ke dalam peranti atau rangkaian organisasi, dia boleh pergi lebih jauh dan akan duduk di situ untuk mengumpul maklumat yang berkemungkinan rahsia,” ujarnya.

Justeru itu katanya, pengguna perlu peka akan risiko apabila menggunakan aplikasi tersebut dan jangan mudah untuk berkongsi sewenang-wenangnya mesej-mesej yang membabitkan pautan.

“Pengguna perlu peka risiko dan satu klik boleh mengundang bencana, bukan hanya kepada diri sendiri sebaliknya turut membabitkan organisasi dan negara,” tambahnya.

Terdahulu, pada minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengambil tindakan segera terhadap Telegram yang enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara berkait isu keselamatan siber, termasuk penipuan dalam talian.

Beliau dilaporkan berkata, langkah susulan termasuk bertemu pihak Telegram perlu dibuat, malah usaha untuk bekerjasama dalam isu berkaitan juga perlu disokong semua pengguna aplikasi berkenaan.

Gesaan itu dibuat susulan kenyataan jurucakap Telegram, Remi Vaughn yang enggan bekerjasama dengan KKD kerana aplikasi itu tidak mahu mengambil bahagian dalam sebarang bentuk penapisan berkaitan politik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI