fbpx

Anak abai ibu bapa wajar masuk penjara, didenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LAMBAKAN warga emas di pusat jagaan antaranya disebabkan ramai anak tidak mahu menjaga ibu bapa mereka yang sakit. – Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Undang-undang berkaitan pengabaian ibu bapa oleh anak-anak perlu diwujudkan segera dengan memperuntukkan hukuman penjara atau denda maksimum terhadap pesalah.

Peguam, Muhammad Hariz Md. Yusoff berkata, Malaysia setakat ini belum mempunyai peruntukan undang-undang khusus dalam konteks pengabaian dan penjagaan ibu bapa.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) berkata, akta berkaitan warga emas perlu digubal bagi tujuan melindungi dan memelihara golongan itu daripada sebarang bentuk jenayah pengabaian.

“Bagi saya, perlindungan ter­hadap kanak-kanak adalah mencukupi, bukan sahaja satu akta kanak-kanak, tetapi banyak termasuk pengabaian dan seksual.

“Jika dibandingkan dengan negara luar seperti India, United Kingdom dan Singapura, mereka sudah ada akta khusus untuk warga emas.

“Satu dasar mengenainya perlu diwujudkan seperti mana yang diperuntukan dalam akta kanak-kanak. Ada peruntukan penjara, denda maksimum atau kedua-duanya sekali termasuk juga ­khidmat masyarakat,” katanya.

Beliau mengulas mengenai laporan Kosmo! berhubung pertambahan bilangan warga emas di pusat jagaan sejak lima tahun lalu ekoran tindakan anak-anak yang ‘membuang’ ibu bapa di hospital kerana tidak mahu menjaga warga emas berkenaan.

Berita berkaitan: Hospital tempat si tanggang moden buang ibu bapa

Berita berkaitan: Segerakan gubal akta warga emas lindungi ibu bapa

Menerusi laporan akhbar tersebut, pihak hospital terpaksa mendapatkan bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menempatkan golo­ngan malang yang ditinggalkan anak-anak selepas selesai ­menerima rawatan.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, kerajaan boleh menggubal sebarang bentuk undang-undang dan menetapkan hukuman yang perlu dikenakan ke atas mana-mana individu yang sengaja membiarkan ibu bapanya ‘merempat’ di rumah kebajikan tanpa menje­nguk mereka.

“Dalam Islam, tiada hukuman tertentu ditetapkan untuk ke­cuaian ini dalam masa hidup di dunia, hanya diberi amaran bahawa derhaka kepada ibu bapa adalah termasuk salah satu dosa besar dan diberitahu bahawa ­syurga terletak di bawah telapak kaki ibu.

“Terserahlah kepada budi bicara pihak berkuasa untuk me­ngenakan apa-apa hukuman yang difikirkan wajar dan dapat memberi pengajaran kepada rakyat,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI