fbpx
ISU pelajar universiti tidak dibayar elaun latihan industri mendapat perhatian banyak pihak baru-baru ini. – GAMBAR HIASAN

Tidak patuh akta antara sebab pelajar praktikal tak dibayar elaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelaksa­naan dan pematuhan terhadap undang-undang yang mungkin tidak konsisten di semua tempat antara faktor menyebabkan pelajar tidak menerima elaun sepanjang menjalani latihan industri.

Naib Yang Dipertua 1 Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ahmad Iqbal Hadi Mohd. Zamani berkata, walaupun undang-undang mungkin sudah memadai, ia hanya berkesan jika dipatuhi dan dilaksanakan secara sera­gam di seluruh negara.

Menurutnya, jika terdapat kesenjangan dalam pelaksanaan dan pematuhan undang-undang di sesuatu tempat, pelajar praktikal masih menghadapi masalah.

“Penguatkuasaan akta ini juga perlu diambil serius supaya perkara seperti ini tidak berlaku lagi di masa-masa akan datang.

“Baru-baru ini juga kami menerima aduan daripada pelajar praktikal bahawa mereka dilayan seperti pekerja tetap, namun mereka tidak dibayar satu sen pun,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Beliau berkata, faktor sete­rusnya ialah terdapat ketidaktahuan atau kurangnya kesedaran mengenai hak-hak pelajar praktikal dalam kalangan majikan.

“Mahasiswa sebenarnya sedar akan kewujudan akta ini, namun majikan mungkin tidak menyedari sepenuhnya tanggungjawab mereka untuk membayar elaun kepada pelajar praktikal, sementara pelajar mungkin tidak berani menuntut hak-hak mereka.

“Pelajar praktikal mungkin berasa terikat atau tidak berdaya untuk menuntut hak mereka kerana takut akan kesan negatif terhadap masa depan mereka.

“Majikan juga mungkin memanfaatkan situasi ini dengan tidak memberikan elaun sepatutnya. Ini akan menyebabkan beberapa pelajar tetap tidak dibayar elaun atau menerima elaun tidak mencukupi,” ujarnya.

Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia menjelaskan, Akta Kerja 1955 adalah mencukupi untuk melindungi hak pekerja termasuk pelajar-pelajar yang menjalani latihan industri.

Bagaimanapun, Menterinya, V. Sivakumar berkata, pihaknya bersedia meneliti saranan pihak tertentu yang mahu kementerian melihat semula akta itu bagi memastikan hak pelajar yang menjalani latihan industri terbela.

Mengulas lanjut, Ahmad Iqbal Hadi berkata, untuk menangani isu ini, penting bagi kerajaan dan institusi berkaitan mengambil tindakan yang berkesan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN