fbpx

Nahas kereta api paling dahsyat sejak 20 tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR pemandangan dari udara menunjukkan keadaan di lokasi nahas semalam. – AFP

NEW DELHI, India – Sekurang-kurangnya 288 orang terbunuh dan lebih 850 yang lain cedera dalam kemalangan ngeri melibatkan tiga buah kereta api di India, kata beberapa pegawai semalam.

Nahas kereta api itu adalah yang paling dahsyat dalam tempoh 20 tahun.

Wartawan AFP di tempat kejadian melihat kompartmen-kompartmen hancur dan lubang-lubang berlumuran darah di lokasi nahas dekat Balasore, sekitar 200 kilometer dari ibu negeri Odisha, Bhubaneswar.

Sebilangan gerabak terbalik, manakala pekerja-pekerja penyelamat meneruskan usaha mencari dan mengeluarkan mangsa yang terperangkap. Berpuluh-puluh mayat diletakkan di bawah cadar putih dan di dalam beg-beg mayat di sebelah landasan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Bomba Odisha, Sudhanshu Sarangi berkata, angka kematian setakat ini ialah 288 orang.

“Usaha menyelamat masih diteruskan (semalam),” katanya kepada AFP dari tempat kejadian sambil menambah, ramai mangsa cedera parah.

Nahas kereta api tidak asing di India. Negara itu pernah menyaksikan berbilang kemalangan tren dengan yang terburuk berlaku pada 1981 apabila sebuah kereta api tergelincir dan jatuh ke dalam sungai semasa melintasi jambatan di Bihar, menyebabkan antara 800 hingga 1,000 orang terkorban.

Bagaimanapun, kemalangan kelmarin adalah yang paling buruk sejak tahun 1990-an.

Ketua Setiausaha Negeri Odisha, Pradeep Jena mengesahkan bahawa kira-kira 850 mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital.

“Keutamaan kami sekarang adalah menyelamatkan penumpang dan merawat mereka yang cedera,” katanya.

Pengarah Eksekutif syarikat Indian Railways, Amitabh Sharma memberitahu bahawa dua kereta api penumpang terlibat secara langsung dalam kemalangan itu, manakala tren ketiga merupakan kereta api barang yang berhenti.

Seorang mangsa terselamat memberitahu pemberita televisyen bahawa dia sedang tidur apabila kemalangan berlaku. Semasa tersedar, mangsa mendapati dirinya terperangkap di bawah 12 penumpang lain.

Mangsa akhirnya dapat merangkak keluar daripada gerabak dan hanya mengalami cedera pada leher dan tangannya.

Situasi di lokasi nahas pula menyaksikan begitu ramai mangsa yang cedera dengan mereka dibawa ke hospital sama ada dengan menggunakan ambulans atau bas.

Seorang jurucakap di pejabat Pradeep, dalam negeri Odisha berkata, semua hospital besar kerajaan dan swasta bersiap sedia untuk membantu mangsa yang cedera.

Tambahnya, pihak berkuasa telah menghantar 75 ambulans ke tempat kejadian dan telah mengerahkan banyak bas untuk mengangkut penumpang yang cedera.

Sementara itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi berkata, beliau sedih berhubung nahas kereta api tersebut.

“Pada masa sukar ini, saya mengucapkan takziah kepada waris mangsa. Semoga semua mangsa yang cedera pulih segera,” kata Modi di laman Twitter sambil menambah, beliau telah bercakap dengan menteri kereta api, Ashwini Vaishnaw supaya memeriksa situasi nahas dan memberikan bantuan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI