fbpx
SITI KHAIRAH menyiapkan tempahan pakaian pelanggannya ketika ditemui di Rumah Rakyat Sungai Layang, Rembau. – NOR AINNA HAMZAH

Baju raya online gugat survival tukang jahit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lambakan baju raya ready made atau siap dipakai yang dijual secara dalam talian menyebabkan tukang jahit persendirian berdepan cabaran untuk meneruskan kelangsu­ngan hidup dise­babkan tempahan semakin kurang.

Sebelum ini, setiap kali tiba bulan Syawal, mereka tidak menang tangan menerima 150 tempahan pakaian, namun kini jumlahnya merosot tidak sampai separuh.

Di Rembau, Negeri Sembilan, tukang jahit, Siti Khairah Che Ariffin, 44, berkata, kekurangan tempahan itu di­sebabkan orang ramai beralih kepada pembelian pakaian secara dalam talian sejak beberapa tahun lalu.

“Tahun lalu, saya terima 100 tempahan baju raya sehingga terpaksa membuat keputusan menutup tempahan lebih awal pada 1 Rejab. Pada tahun sebelumnya, saya pernah terima sehingga 150 tempahan pakaian raya.

“Tahun ini, tempahan baju raya sekitar 60 pasang sahaja,” katanya ketika ditemui di premisnya di Rumah Rakyat Sungai La­yang, di sini baru-baru ini.

Menurut wanita itu, kebanyakan pelanggan yang membuat tempahan terdiri daripada pelanggan tetap termasuk penjawat awam di daerah ini.

Biasanya pelanggan yang tinggal di luar Rembau akan membeli kain secara online sebelum dihantar ke rumahnya menggunakan perkhidmatan kurier.

“Saya masih mengekalkan upah sama sejak tiga tahun lalu iaitu RM50 bagi sepasang baju kurung dan caj tambahan RM5 untuk jahitan lace atau fesyen lain,” ujarnya.

Bagi meneruskan hidup membesarkan enam anak berusia sembilan hingga 21 tahun, wanita itu melakukan kerja sambilan menjaga warga emas uzur pada waktu pagi selain pendapatan suami sebagai pemandu lori.

Bagi Normasnira Yusof, 40, harga pakaian siap yang murah menjadi antara punca tukang tukang jahit persendirian seperti­nya kurang menerima tempahan.

“Ramai yang selesa membeli barang termasuk pakaian secara dalam talian sejak pandemik Covid-19. Jika dulu, saya terima 150 tempahan menjelang pe­rayaan besar dengan pendapatan kasar mencecah sehingga RM10,000. Sekarang cuma terima 80 tempahan pakaian. Pendapatan pula sudah tentu merosot lebih separuh.

“Bagi menghargai pelanggan, saya berikan scrunchies atau pengikat rambut kain sekiranya terdapat lebihan kain,” katanya ketika ditemui di premisnya di Kampung Semerbok, di sini.

Normasnira berkata, walaupun tempahan baju raya berkurangan, namun terdapat peningkatan bagi pelanggan yang mahu mengubah suai pakaian yang dibeli secara online.

“Ada yang besar minta supaya mengecilkan bahagian tertentu mengikut saiz sebenar pelanggan,” katanya.

Dia yang mula bergelar tukang jahit pada 2015 menerima tempahan menggalakkan sehingga terpaksa menyiapkan lima hingga 10 pasang pakaian wanita dalam sehari sebelum ini.

“Kalau bukan dalam bulan Syawal, biasanya saya terima tempahan 20 hingga 30 pasang pakaian sahaja sebulan selain tempahan pukal dari sekolah dan asrama,” katanya

Bagi menambah pendapatan, wanita itu bersedia membuka kelas ilmu jahitan terutama pada musim cuti sekolah.

Di Tapah, Perak, tukang jahit, Zakiyatulmiskiyah Ahmad Zaidi, 35, mengakui orang ramai selesa membeli pakaian raya secara dalam talian, namun menggunakan khidmatnya untuk mengu­bah suai pakaian masing-masing agar tampil lebih bergaya pada pagi raya.

“Sebahagian besar pembeli tidak mendapat saiz yang dikehendaki, jadi mereka perlu membuat alteration. Khidmat alter ini boleh cecah sehingga 100 pasang,” katanya ketika ditemui di Perumahan Awam Air Kuning semalam.

Katanya, selain perkhidmatan itu, ada pelanggan yang mahu menghiasi pakaian mereka de­ngan manik dan corak bunga atau motif tumbuh-tumbuhan terutama baju kurung.

“Bagi baju Melayu atau kurta, biasanya pelanggan minta tambah poket yang menjadi antara fesyen terbaharu untuk digayakan pada Hari Raya Aidilfitri. Jika ada tempahan untuk baju kurung, kurta, blaus, jubah atau baju Melayu agak kurang,” katanya.

Biasanya Zakiyatulmiskiyah akan menutup tempahan seminggu menjelang raya kerana mahu pulang beraya ke rumah keluarganya di Rawang, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN