fbpx
Hasil sayur-sayuran dituai untuk diberikan kepada pihak yang memerlukan termasuk golongan B40.

Kebun sukarelawan ibu kota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAMBIL memegang gunting pangkas, tangan Norma Hasha Lubis, 26, tangkas memotong ranting-ranting kering pokok petola yang bergayut pada pelantar tali.

Pada masa sama, dia juga akan membersihkan batas tanaman sayur-sayuran yang ada di situ agar kekal bersih dan kemas.

Begitulah rutin anak gadis berasal dari Pulau Pinang ini yang lebih mesra dikenali sebagai Nori setiap kali dia berkunjung ke Kebun-Kebun Bangsar di ibu kota sebagai seorang sukarelawan.

“Saya menjadi sukarelawan di sini sejak Februari lalu dan bermula dari itu, boleh dikatakan setiap minggu saya akan ke sini untuk berkebun.

“Memandangkan saya tidak mempunyai kepakaran mengenai aktiviti berkebun, saya akan bertanyakan kepada pihak pengurusan Kebun-Kebun Bangsar mengenai aktiviti yang perlu saya lakukan pada hari berkenaan.

“Kebiasaannya, saya akan membantu untuk menuai hasil sayur, kadangkala pula saya diberi tugas mencantas dahan-dahan kering bagi membersihkan batas tanaman.

“Saya memang minat aktiviti berkebun kerana selain dapat mempelajari pelbagai perkara mengenainya, saya juga dapat bergaul dengan ramai orang yang datang ke sini,” katanya kepada Panorama.

Selain Nori, kebun bandar tersebut turut menarik minat seorang pelajar Ijazah Sarjana Antropologi dan Sosiologi dari Universiti Malaya (UM), Ahmad Yasin Basri, 25, untuk menyertai aktiviti berkenaan.

Dia yang sudah bergelar sukarelawan di situ sejak Oktober tahun lalu sanggup menghabiskan masa hujung minggunya untuk berkebun di Kebun-Kebun Bangsar atas minatnya yang mendalam terhadap aktiviti pertanian.

Katanya lagi, dia mendapat tahu kewujudan kebun itu sejak tahun 2018 selepas dia bergiat aktif dengan sebuah badan kebajikan yang kerap menyediakan makanan percuma untuk golongan gelandangan.

“Saya datang daripada keluarga yang tinggal di kawasan luar bandar, jadi aktiviti berkebun ini sudah menjadi kebiasaan bagi saya.

“Tambahan pula, saya memang meminati kerja-kerja sukarelawan seperti ini dan Kebun-Kebun Bangsar telah menjadi tempat untuk saya berbakti sejak Oktober tahun lalu,” katanya.

Kebun-Kebun Bangsar yang terletak di Lorong Bukit Pantai, Bangsar, Kuala Lumpur merupakan satu kebun bandar yang diusahakan di atas tanah seluas kira-kira dua hektar (8 ekar) di bawah laluan kabel elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kebun yang diwujudkan sejak tahun 2016 itu diasaskan oleh seorang arkitek terkemuka, Ng Sen San selepas beliau berjaya memperoleh status Lesen Pendudukan Sementara bagi tanah berkenaan.

Ia hasil kerjasama TNB, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerusi inisiatif Agenda Tempatan 21 (LA21).

Kebun-Kebun Bangsar di Lorong Bukit Pantai, Bangsar, Kuala Lumpur terletak dalam persekitaran bandar dan perumahan elit.

Menariknya, Kebun-Kebun Bangsar merupakan kebun bandar yang diusahakan oleh komuniti atau sukarelawan-sukarelawan daripada pertubuhan-pertubuhan kebajikan atau institusi pengajian tinggi (IPT).

Hasil tanaman pula diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Pengerusinya, Joanne Mun berkata, kebun bandar itu diwujudkan berdasarkan empat teras utama iaitu pertama, permakultur dan biofilia iaitu tempat pembelajaran mengenai pertanian bandar yang mampan.

“Teras kedua bagi memupuk semangat berkongsi, membantu dan mengembalikan hasil tanaman kepada golongan yang memerlukan.

“Teras ketiga pula menggunakan tanah terbiar secara kreatif dengan cara memberi peluang kepada masyarakat setempat menebus guna tanah terbiar bagi tujuan sosial.

“Keempat, mengambil peduli krisis iklim dengan menggalakkan pelaksanaan sistem makanan yang mampan, menambah kehijauan kawasan bandar dan membantu memulihara sistem biodiversiti dengan memberi perlindungan kepada flora dan fauna,” katanya.
Tambah Joanne lagi, isu kekangan tanah yang terhad dan ketiadaan ruang untuk berkebun khususnya mereka yang tinggal di pangsapuri dan kondominium turut membawa kepada idea kewujudan kebun komuniti tersebut.

Selain dapat bercucuk tanam jelasnya, kebun itu juga boleh menjadi pusat untuk seluruh komuniti di sini berkumpul dan saling mengenali.

“Selain itu, objektif yang lebih besar adalah program kebajikan yang kami laksanakan kerana segala hasil daripada aktiviti berkebun di sini kami agihkan kepada kumpulan masyarakat yang memerlukan.

“Walaupun kami mendapat dana daripada pelbagai pihak seperti Think CT KL, pihak swasta dan orang perseorangan, namun kesemua sukarelawan di sini tidak pernah menerima sebarang bayaran kerana apa yang dilakukan bertujuan kebajikan semata-mata,” katanya.

Jelas Joanne lagi, walaupun kebun komuniti itu memfokuskan aktiviti bercucuk tanam, namun bagi menarik minat lebih ramai orang awam untuk berkunjung ke situ, mereka turut mewujudkan taman dan ruang santai yang menempatkan beberapa jenis haiwan ternakan seperti lembu, kambing, ayam, itik dan burung merak di ruang hadapan.

Ia bagi memberi peluang kepada pengunjung khususnya kanak-kanak untuk turut merasai keseronokan bermain dengan haiwan ternakan.

“Di Kebun-Kebun Bangsar ini, kami melaksanakan aktiviti gotong-royong bagi bercucuk tanam dan membersihkan kawasan kebun sebanyak dua kali seminggu iaitu pada hari Rabu dan Sabtu.

“Ketika itulah ramai kumpulan sukarelawan sama ada dalam kalangan pelajar IPT, kakitangan swasta dan korporat, kumpulan keluarga dan orang perseorangan datang memberikan khidmat sukarelawan mereka di sini,” jelasnya.

Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi dalam menguruskan aktiviti kebun komuniti tersebut, Joanne memberitahu pihaknya pernah beberapa kali berdepan dengan pihak berkuasa yang datang untuk menjalankan pemeriksaan di situ.

Ia katanya, berpunca daripada aduan yang dibuat pihak-pihak tertentu yang mungkin berasa tidak puas hati atau tidak senang dengan kewujudan kebun di tengah-tengah kawasan perumahan elit itu.

Tambahnya, di sebalik cabaran yang ada, pihaknya bersyukur kerana Kebun-Kebun Bangsar telah dipilih oleh pihak Muzium Rekabentuk Vitra yang terletak di Jerman sebagai satu daripada enam kebun komuniti di dunia bagi mempamerkan gambar-gambar aktiviti mereka di situ.

Pameran yang akan berlangsung selama lima bulan di beberapa buah negara di Eropah itu menjadi satu peluang keemasan untuk mempromosi konsep kebun komuniti di Malaysia kepada mata dunia.

Pada masa sama, Joanne berharap Kebun-Kebun Bangsar dapat terus berdiri sebagai sebuah kebun yang mampu diangkat menjadi model kepada pelaksanaan kebun bandar lestari dan mampan di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN